KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan
Lembaga Tabung Haji mampu membayar dividen kepada pencarumnya untuk
tahun kewangan 2015.
Dalam satu kenyataan Ambrin Buang berkata pihaknya telah menjalankan
pemeriksaan audit asas ke atas akaun kewangan Lembaga Tabung Haji dan
mendapati badan itu mampu membayar dividen kepada lebih 8 juta
pencarumnya.
Menurut beliau, Lembaga Pengarah Tabung Haji berhak untuk menentukan kadar dividen patut dibayar.
Beliau menegaskan pemeriksaan ke atas kewangan TH adalah amalan biasa
untuk memastikan dasar-dasar perakaunan yang digunakan oleh TH adalah
konsisten dan sesuai.
Status kewangan TH khususnya tahap simpanan rizab sebelum ini
dipertikaikan oleh pembangkang yang menuduh TH membayar dividen yang
berlebihan berbanding keuntungan diperolehi.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Tan Sri Ismee Ismail
menafikan tuduhan itu dan berkata aset tunai TH adalah lebih RM10.7
bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan