Mereka didakwa mencederakan Hafizuddin menggunakan
parang di hadapan bengkel Mizan Racing Tuned, Jalan Jelatek, pada 20
Februari lalu.
KUALA LUMPUR: Lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat di sini tahun lepas, hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik, empat hari lepas.
Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, dan rakannya Muhammad Shameer Zaidi, 19, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.
Kedua-dua mereka yang merupakan pekerja kedai dobi didakwa mencederakan Hafizuddin Hamzah, 27, menggunakan parang di hadapan bengkel Mizan Racing Tuned, Jalan Jelatek, di sini pada 3.30 pagi, 20 Februari lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Mohd Rehan belum membenarkan jaminan berikutan penjamin kedua-dua tertuduh tidak hadir pada hari ini.
Pada 14 Julai tahun lepas, Shahrul Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat di Bukit Bintang di sini pada 4.47 petang, 11 Julai 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Shahrul Anuar juga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret pada 12 Februari lalu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan penyalahgunaan dadah pada 12 Julai 2015.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan