ADUN BN hari ini enggan mengulas hasil perjumpaan mereka bersama dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar sejak jam 2.30 petang tadi.
Lebih 50 pengamal media yang menunggu di pintu masuk utama cuba meminta wakil rakyat berkenaan mengulas apabila mereka meninggalkan bangunan itu pada kira-kira 5.30 petang tetapi tiada seorang pun yang mahu berbuat demikian.
Beberapa ADUN hari ini dipanggil menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Adalah dipercayai perjumpaan berkenaan adalah untuk mendapatkan kepastian mengenai pendirian mereka terhadap kepemimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar.
ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah enggan mengulas lanjut mengenai nasib Mukhriz dan meminta pemberita menunggu keputusan rasmi mengenainya.
"Saya tak tahu apa keputusan... terima kasih," katanya sebelum meninggalkan bangunan itu.
ADUN Guar Chempedak Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang dispekulasi antara yang bakal menggantikan Mukhriz sebagai calon menteri besar juga enggan mengulas.
"Saya tiada komen dan tidak boleh ulas... sekarang saya nak balik Yan, rumah saya di Yan, ada orang tunggu saya di kampung.
"Saya tidak periksa berapa yang hadir, " katanya sebelum beredar.
Mukhriz dilapor meninggalkan bangunan Wisma Darul Aman pada jam 5.30 petang selepas berjumpa dengan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, tanpa bercakap kepada wartawan.
Krisis politik tercetus berikutan wakil rakyat dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Bashah yang juga adalah timbalan pengerusi perhubungan Kedah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz.
Dilaporkan seramai 19 daripada 21 ADUN BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz.
Hanya ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar yang dikatakan tidak berbuat demikian.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran menteri besar.
Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.
Najib pada sidang media pada hari sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan