HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Februari 2016

Ujian Mukhriz tak sehebat Anwar



Oleh Subky Latif


TENTUNYA apa yang dialami Datuk Seri Mukhriz adalah satu ujian yang terkesan pada hati dan politiknya, malah ia juga menyentuh jiwa dan perasaan kedua ibu bapanya, Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah.Apa jua, besar kecilnya ujian itu tentulah dihadapi dengan tabah dan tenang bagi setiap yang berjiwa besar. Ketiga anak-beranak itu tentu tahan menghadapi asam garam politik dunia itu.

Saya tidak mahu kata, kejadian terhadap Mukhriz itu adalah balasan Allah atas tindakan politik Dr. Mahathir terhadap DS Anwar Ibrahim hujung tahun 1990-an dulu. Tetapi ia adalah giliran keluarga itu untuk merasai sedikit pengalaman yang dihadapi oleh Anwar, ayahnya dan bondanya.
   
Memang yang terjadi pada Mukhriz itu meributkan politik Kedah dan mengganggu sedikit sebanyak pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat. Tetapi ia adalah seperti setitik air jatuh ke secawan kopi dibanding dengan badai dan ribut yang keluarga Anwar, rumah tangga Umno dan politik negara alami.
    
Tidak dapat hendak diagak berapa lama apa yang Mukhriz itu akan mengganggu dunia politik kita, tetapi semua tahu ujian dan cabaran yang Anwar hadapi adalah yang tebesar dan terperit yang politik dan pentadbiran negara pernah alami. Sudah hampir 20 tahun politik Anwar terus bergolak dan ia mengganggu perjalanan hidup keluarganya dan penyokongnya.
   
Tuduhan yang dikenakan kepada Anwar adalah sebesar-besar tuduhan yang pernah dialami oleh manusia. Nabi Musa a.s. telah menghadapi fitnah konspirasi Qarun. Ada perempuan mendakwa dimaksiat Nabi Musa. Apabila perempuan itu berdepan dengan kenabian Nabi itu, dia mengaku telah diupah Qarun. Atas daulat Nabi Musa dengan izin Allah, Qarun dan kekayaannya telah ditelan bumi.
   
Anwar bukan Nabi dan tohmah yang dihadapinya terpaksa melalui keadilan mahkamah dunia hingga hari ini. Dia tidak sekadar dipenjara dua kali, bondanya mati semasa dalam penjara dan bapanya mati semasa dalam duka nestapa tohmah terhadap Anwar belum berakhir.
   
Anwar terpaksa berpisah dengan isteri, anak-anak dan ibu bapa bertahun-tahun. Mukhriz hanya dibuang daripada Menteri Besar dan ketua Umno Kedah, tapi dapat terus bersama isteri, anak-anak dan bertemu ibu bapa dari semasa ke semasa.
   
Dr. Mahathir dengan fitnah yang dihadapi Mukhriz tidak merasa apa yang ayah Anwar rasa atas ujian terhadap anaknya, dan Dr. Hasmah belum mengalami apa yang dialami oleh bonda Anwar.
   
Jika PM Najib menghadapi sedikit reaksi nagatif daripada simpatisan Mukhriz, ia tidak semencabar apa yang dihadapi oleh Dr. Mahathir daripada penyokong anwar, bukan saja dari penyokongnya dalam negeri bahkan sokongan antarabangsa terhadapnya.
    
Saya tidak kata Mahahir telah bersalah dalam hubungannya dengan Anwar, tetapi dia dan isteri sudah merasa sedikit daripada apa yang Anwar dan keluarganya hadapi selama hampir 20 tahun.
   
Sekalipun apa yang Mahathir itu ringan dibandingkan dengan belenggu yang Anwar hadapi, tidaklah boleh kita kira ia tidak apa-apa dalam tekanan politik Najib sekarang. Yang Najib lakukan terhadap Mukhriz dan kesannya kepada Dr. Mahathir tetap satu politik licik.
   
Mukhriz tidak sepatutnya dihina begitu. Jika terlemah dibandingkan dengan semua MB dan Ketua Menteri, mungkin Umno beri tunjuk  sebab mengapa dia tidak boleh digantikan?
   
Tetapi melalui kelicikan Najib itu dapat memberinya sedikit daripada pengalaman Awar dan ia tidak wajar bagi Mahathir dan anaknya untuk tidak terus bekerja bagi menurunkan Najib. Bukan sekadar meruntuhkan kuasa Umno, tapi ia demi melepaskan negara daripada kezaliman

Tiada ulasan: