Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
KUALA LUMPUR: Pembabitan Umno dan PAS dalam perhimpunan membantah
penindasan etnik Rohingya pada 4 Disember ini tidak bermakna kedua-dua
parti akan melanjutkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, kedua-dua parti hanya
bersetuju untuk bekerjasama dalam isu membabitkan kepentingan sejagat.
"Jadi kerjasama ini bergantung pada isu. Namun demikian, nampak satu
keikhlasan pihak pimpinan Umno dan PAS untuk sekurang-kurangnya
mengadakan satu akses langsung yang menghubungi presiden kedua parti.
Dan dapat bincang apa saja isu, sama ada perlu kerjasama.
"Tapi tak maksud ada kerjasama secara rasmi. Untuk masa ini, tiada
kerjasama rasmi atau gabungan," katanya kepada pemberita ketika ditemui
di Laman Media sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU2016).
Menurutnya, apa jua yang membabitkan hubungan antara kedua-dua parti perlu dipertimbangkan implikasinya terlebih dahulu.
"Kita boleh bekerjasama mengenai isu-isu tertentu dan ia menentukan
sejauh mana peringkat 'keselesaan' kita bersama mereka (PAS).
"Apa jua yang berlaku selepas ini kita harus mengkaji implikasi untuk Umno, PAS dan BN," katanya lagi.
Umno dan PAS akan sepentas dalam satu lagi perhimpunan bersejarah untuk
menyatakan bantahan terhadap isu penindasan orang Islam di Rohingya
Myanmar.
Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung 4 Disember ini akan dihadiri
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak
serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan