Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said
KUALA LUMPUR: Pengundi khususnya Melayu diminta berwaspada untuk
membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang kerana
keputusan mereka bakal menentukan masa depan negara.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata,
sekiranya pengundi memilih pembangkang, Malaysia bakal menjadi sebuah
negara 'sekular' sebagaimana yang dicita-citakan DAP.
"Kalau pilihan kepada DAP, bermakna orang Malaysia terutamanya orang
Melayu terpaksa menerima hakikat bahawa DAP mahukan Malaysian Malaysia,
dan mahukan negara sekular.
"Nak pilih DAP atau Umno kerana pembangkang akan dikepalai DAP sebab ia
parti terbesar dalam pembangkang," katanya kepada pemberita ketika
ditemui selepas ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak
sebentar tadi.
Beliau mengulas mengenai peringatan Najib kepada ahli Umno supaya
membuat pilihan yang tepat sekiranya mahukan hak dan keistimewaan orang
Melayu serta peningkatan syiar Islam dipertahankan sebagaimana yang
dilakukan Umno.
Najib dalam ucapan dasarnya pagi tadi berkata, hak dan keistimewaan
orang Melayu serta peningkatan syiar Islam yang dipupuk dan
dipertahankan Umno selama ini akan terhakis, malah "pupus" sekiranya
pengundi memilih Pakatan Harapan pimpinan DAP pada PRU14.
Najib berkata PRU akan datang, memberi pilihan kepada rakyat sama ada
mengekalkan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan
pimpinan DAP yang mempunyai perjuangan sempit dan mengancam survival
Bumiputera.
"Pada ketetapan takdir ini kelaklah, sekiranya negara ini jatuh ke
tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular
berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta
dipertahankan oleh Umno selama ini, termasuk Institusi-institusi
Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus
dan lenyap.
"Begitulah juga institusi pengajian tinggi kebanggaan orang Melayu dan
Bumiputera selama 60 tahun, yakni Universiti Teknologi Mara, tidak akan
lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya," kata Najib dalam ucapan
dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016.
"(Juga) pastinya kita sebagai umat Islam akan berasa risau, sakit hati
dan marah laksana diracun dan didamak, apabila syiar Islam dan
pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan sekiranya DAP yang
memerintah," kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan