shahbudindotcom
Berdasarkan
congakan di atas kertas dan sifir matematik yang mudah, sesiapa pun
akan mengatakan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang
bakal menzahirkan kepada dua kemungkinan.
Pertama, UMNO dan BN akan mendapat kelebihan serta mampu terus mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan.
Kedua,
Pas bakal memenangi lebih banyak kerusi dan lebih terdedah kepada
kemungkinan menjadi kuasa penentu kepada BN dan Pakatan Harapan jika
masing-masing kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan.
Hampir
tidak ada yang menaruh keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru akan
turut sama memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan yang kini telah
bekerjasama secara rasmi dengan PPBM yang dipengerusikan oleh Tun
Mahathir Mohamad.
Rata-ratanya
mengatakan pertandingan tiga penjuru hanya memusnahkan harapan
pembangkang untuk mengambil alih kerajaan dan menyingkirkan Najib Razak.
Atas
sebab yang samalah maka PPBM masih berusaha untuk memujuk Pas agar
sedia bekerjasama dan menjadikan formula satu lawan satu melawan BN
menjadi kenyataan.
Atas
sebab yang sama jugalah Najib dan UMNO begitu membelai dan menjaga hati
Pas agar parti itu kekal dengan pendiriannya ingin bersendirian.
Sehingga
ini, bekerjasama atas nama Islam seperti Akta 355 atau Rohingya adalah
antara pendekatan Najib dan UMNO terhadap Pas untuk menjarakkannya
daripada bersama pembangkang dan agar terus bertanding sebagai blok
ketiga.
Melihat
keadaan yang sama, Pas juga lebih ingin bersendirian kerana sepertimana
yang pernah disebut oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, jika BN dan parti-parti
pembangkang masing-masing tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan
selepas pilihanraya nanti, kedudukan Pas akan menjadi rebutan dan
harganya menjadi lebih mahal.
Benarkah semua congakan dan sifir matematik itu akan menjadi kenyataan?
Membuat
pilihan dalam pilihanraya akan datang sepatutnya menjadi perkara yang
paling mudah bagi rakyat Malaysia. Asas pilihan sebenarnya hanyalah
antara baik dengan jahat, buruk dengan cantik dan hitam dengan putih.
Jika
pun ada yang mengatakan kerajaan baru yang bakal mengambil alih nanti
belum tentu lebih baik daripada BN yang sudah memerintah lebih 60 tahun,
sekurang-kurangnya kejahatan dan amalan pencurian mereka belum lagi
terbukti.
Maka,
apakah kita masih mahu mengekalkan kerajaan yang telah terbukti banyak
menyusahkan rakyat dan pemimpinnya pula semerbak di seluruh dunia
dikaitkan dengan amalan rasuah dan kleptokrasi berbanding dengan bakal
kerajaan yang belum terbukti gelap mata terhadap kuasa?
Petunjuk
bagaimana rakyat memilih pemimpin dan kerajaan baru yang dilihat tegas,
berprinsip dan mempunyai aura pembaharuan terbukti dalam pemilihan
Presiden di Filipina dan Amerika Syarikat baru-baru ini.
Rodrigo
Duterte bukanlah sosok yang popular pada awalnya, tetapi ketegasannya
untuk memerangi jenayah, malah sehingga membunuh mereka yang terlibat
dengan rasuah dan pengedaran dadah membuatkan beliau akhirnya menjadi
pilihan rakyat Filipina.
Begitu
juga dengan Donald Trump, beliau sentiasa tidak popular dan di belakang
berbanding Hillary Clinton, namun ketegasannya mahu mengembalikan
kegemilangan Amerika melalui beberapa janji yang dianggap drastik telah
menjadikannya pilihan rakyat negara itu.
Di
Malaysia, perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku. Sama ada dua
penjuru atau tiga penjuru, jika Pakatan Harapan bersama PPBM sentiasa
konsisten dalam perjuangan untuk memerangi rasuah, membawa semua
pesalahnya ke mahkamah, mengembalikan negara gemilang semula, yakinlah
rakyat pasti akan bersama dengannya.
Dengan
kempen untuk menyelamatkan negara itu, bukan saja Najib, UMNO dan BN
akan ditolak, malah Pas yang ghairah bertanding sendirian dengan harapan
sama ada membantu kerajaan yang ada terus kekal berkuasa atau ingin
menjadikan harga mereka mahal nilainya, kedua-duanya pasti akan ditolak
sama.
Ini
kerana rakyat hanya memilih satu antara dua dan tidak mungkin memilih
dua antara tiga. Pas yang hanya bertanding 70 kerusi dan tidak mampu
membentuk kerajaan secara sendirian, adalah lebih mungkin ditolak juga
bersama pihak yang dianggap jahat, hitam dan tidak baik itu.
Rakyat
juga sedar, kadangkala hanya dengan pertukaran kerajaan memungkinkan
kekotoran dalam negara dapat dibersihkan dengan lebih baik lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan