ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih tidak menerima
maklumat daripada kedutaan mahupun kerajaan Korea Utara berhubung tujuh
individu yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini pihak
kedutaan Korea Utara belum memberikan sebarang kerjasama yang diminta
PDRM bagi membantu siasatan kes itu.
"Mereka belum beri apa-apa kerjasama... kita akan maklum nanti apa
tindakan polis seterusnya sekiranya mereka masih tidak memberikan
kerjasama," katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.
Pada 22 Februari lepas, Khalid berkata polis akan meminta kerjasama
daripada pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahkan empat suspek warga
Korea Utara yang melarikan diri ke luar negara pada hari kejadian dan
kembali ke negara asal bagi proses siasatan.
Khalid berkata pihak berkuasa negara itu perlu memberi kerjasama dan
membenarkan polis menjalankan soal siasat terhadap kesemua suspek supaya
siasatan kes itu dapat dilengkapkan.
Empat suspek Korea Utara yang dikatakan telah kembali ke Pyongyang
ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam,
57.
Turut diburu ialah Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia
yang dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44, pekerja syarikat penerbangan
Korea Utara (Koryo Air), yang dikenali sebagai Kim Uk-il, 37, dan suspek
ketiga iaitu Ri Ji-U, 30, atau dikenali sebagai James.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan Korea Utara menghantar
delegasi seorang pegawai kanannya ke Kuala Lumpur untuk berbincang
dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai hal berkaitan pembunuhan Kim
Jong-nam semalam, Khalid berkata mereka tidak mempunyai keperluan untuk
berjumpa dengan pihak polis sebaliknya berurusan dengan Wisma Putra.
Semalam, bekas Duta Besar Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa Bersatu
(PBB) Ri Tong Il, tiba di Kedutaan Korea Utara di sini dan
mengisytiharkan bahawa beliau akan menjadi jurucakap rasmi negara itu.
Tong Il berkata tugasnya tertumpu kepada tiga perkara termasuk meminta
mayat Jong-nam diserahkan kepada Korea Utara, persoalan berhubung
penahanan seorang rakyat Korea Utara oleh polis Malaysia dan 'hubungan
persahabatan' di antara Pyongyang dan Kuala Lumpur.
Pada 13 Februari lepas, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim
Jong-un, dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2)
bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dia dihampiri dua
wanita yang dilapor menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai
disembur bahan beracun yang kemudian disahkan sebagai agen saraf VX.
Jong-nam, yang memegang pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan