Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Amanah yakin PAS bakal kehilangan kubu kuatnya di Kelantan
pada pilihan raya akan datang sekiranya parti itu terus bersendirian.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, PAS tidak perlu mendabik
dada untuk menunjukkan kekuatan mereka, dan perlu menghargai peluang
untuk bekerjasama dengan parti lain untuk mempertahankan negeri
berkenaan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat,
Nasruddin Hassan bahawa azam Amanah untuk menawan Kelantan sekadar
'angan-angan politik'.
"Di Kelantan kita perlukan kerajaan gabungan yang terdiri daripada
Amanah, PKR dan PPBM. Ini antara kegagalan PAS, iaitu tidak menghargai
keperluan bekerjasama dengan orang lain dan menganggap dirinya cukup
kuat.
"Soal sama ada PAS kekal atau tidak (di Kelantan), saya rasa PAS pun
mesti bersedia untuk lebih bersikap terbuka dan berbincang. Jika ia
masih hendak bersendirian seperti sekarang, saya yakin PAS akan
kehilangan Kelantan," demikian menurut Khalid kepada Antarapos, hari
ini.
Nasruddin turut mendakwa bukan mudah untuk Amanah yang disifatkan baru
setahun jagung untuk merampas Kelantan daripada PAS, memandangkan ia
masih lagi belum mempunyai kekuatana seperti cawangan, ahli dan pengudi.
Membidas Nasruddin, Khalid mendakwa rakyat Kelantan 'menderita'
kegagalan kepimpinan kerajaan negeri yang baru di bawah Datuk Ahmad
Yakob selaku menteri besarnya.
Apatah lagi stail menerajui rakyat dan negeri Cik Siti Wan Kembang itu
tidak menyerupai apa yang telah dikecapi Allahyarham Datuk Seri Nik
Abdul Aziz Nik Mat hampir 20 tahun.
"Hakikatnya PAS telah diberikan amanah untuk memerintah sekian lama.
Selama ini di bahawa kepimpinan Tok Guru Nik Aziz ramai berpuas hati.
"Tetapi tidak ada yang boleh nafikan bahawa kebelakangan ini di bawah
kepimpinan yang baru, termasuk exco baru, ramai yang begitu tak berpuas
hati. Sama ada ia akan menghasilkan kemenangan untuk Amanah atau
sebaliknya, hanya dapat dibuktikan melalui pilihan raya," kata Khalid
lagi.
Lebih lanjut menurut Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Amanah
tidak terkesan dengan sebarang tanggapan negatif PAS terhadap parti itu.
"Kita bercakap atas realiti, bukan atas semangat. Mereka (PAS) kata
kita bercakap atas semangat dan bukan realiti. Namun bagi kita apa yang
sedang berlaku, tiada siapa boleh nafikan.
"Malahan Barisan Nasional (BN) pun begitu yakin jika Amanah tiada
mereka boleh menang kembali Kelantan berdasarkan suasana di Kelantan di
bawah kepimpinan yang baru tidak sama sebagaimana di bawah kepimpinan
Nik Aziz," tegasnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan