Dua syarikat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi risikan Korea Utara boleh disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Soam) bagi merungkai motif sebenar penubuhannya.
Pakar Perundangan, Datuk Mohhd Haaziq Pilay berkata dakwaan terhadap dua syarikat terbabit adalah serius dan polis perlu menahan individu berkepentingan untuk mengenal pasti rangkaian perniagaan mereka, sekali gus tujuan ia ditubuhkan.
"Sosma adalah jalan terbaik membuktikan kes ini tidak bersangkut paut dengan kepentingan keselamatan negara kerana penubuhan kedua-dua syarikat itu kini menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
"Antara yang perlu dikenal pasti adalah sama ada penubuhan syarikat terbabit mengikut tatacara perniagaan di Malaysia dengan memperdagangkan alatan ketenteraan yang tidak menyalahi undang-undang, manakala operasinya bukan untuk tujuan perisikan," Mohd Haaziq dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.
Mohd Haaziq berkata demikian merujuk kepada International Global System Sdn Bhd dan International Golden Services Sdn Bhd yang dilapor mempunyai kaitan dengan Glocom – syarikat yang digerakkan oleh agen risikan Korea Utara yang beralamat di Brickfields, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut Mohd Haaziq berkata tempoh tahanan 28 hari juga adalah memadai untuk polis menyiasat individu berkepentingan itu berbanding akta lain yang hanya memperuntukkan reman 14 hari.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam dilaporkan berkata dua syarikat terbabit kini dalam proses dibatalkan pendaftarannya.
Galcom dikendalikan oleh ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan radio perang yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menurut laporan badan dunia itu yang disediakan untuk Majlis Keselamatan dan dilihat oleh Reuters.
Agensi berita itu mendapati Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi "tentera dan separa tentera" di laman web di Malaysia, glocom.com.my.
Glocom dilapor dikawal oleh Reconnaissance General Bureau, agensi risikan Korea Utara yang ditugaskan untuk operasi luar dan perolehan senjata, kata laporan itu, tanpa menyatakan bagaimanapun maklumat itu diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan