DETIK DAILY
Oleh Lanh
BN menang kerusi Parlimen .........di Sabah. Satu lagi kerusi untuk BN.
BN menang di Sarawak. BN menang lagi di Sarawak...demikian betapa
mualnya kita suatu ketika dulu apabila menatap TV atau mendengar radio
bagi mengetahui keputusan pilihan raya umum (PRU).
Seorang kenalan saya di Britain memberitahu dia mengetahui beberapa
negeri di Semenanjung sudah jatuh ke tangan pembangkang mulai jam 3.00
petang waktu di sana (11.00 malam waktu Malaysia) pada hari pengundian
(PRU) tidak lama dulu. Malangnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak
menyedarinya sehingga menatap akhbar pada keesokan harinya.
Demikian betapa ‘lembapnya’ media massa elektronik (TV dan radio) dalam
menyiarkan keputusan pilihan raya. Dari satu segi alangkah anehnya
senario ini kerana pada zaman kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat
masakini, TV dan Radio Malaysia ketinggalan bertahun-tahun ke belakang
daripada perkembangan semasa. Entah kenapa siaran TV dan radio ini mahu
terus kekal sebagai alat perhubungan ketinggalan zaman.
Pada malam berkenaan, pada mulanya saya bergantung kepada siaran TV
untuk mendapatkan maklumat terkini. Selepas jam 10 malam, saya menjadi
hampa dan marah serta 'mual bagai nak muntah' kerana yang kerap disiar
dan ulang siar adalah keputusan di Sabah dan Sarawak yang dimenangi
mudah calon-calon BN.
Menjelang jam 11.00 malam, diumumkan kerajaan BN berjaya dibentuk di
beberapa negeri dan kira-kira jam 2.00 pagi, BN diumumkan berjaya
membentuk kerajaan Pusat dengan majoriti mudah. Ketika menunggu
keputusan, pengacara berbual dengan beberapa tokoh jemputan.
Sembang-sembang mereka memual dan mengecewakan. Pengacara dan sebahagian
besar jemputan kerap menggunakan ‘kita’ bagi merujuk BN dan
membayangkan pembangkang seolah-olah bukan rakyat, sebaliknya pendatang
asing yang cuba menawan negara ini.
Pembangkang digambarkan telah melakukan kesalahan, hakikatnya penyertaan
pembangkang dalam pilihan raya adalah memperkaya dan memperkukuhkan
lagi proses demokrasi yang diperakui di negara ini. Pengacara
menunjukkan sikap buruk apabila mempamerkan reaksi dan mimik kecewa
apabila mengumumkan kerus-kerusi utama sudah jatuh ke tangan
pembangkang.
Pengacara dan jemputan terus berbual-bual yang isinya entah apa-apa,
sedangkan rakyat seperti saya dahagakan maklumat. Selepas jam 11.00
malam, saya yang sudah terlampau geram, membuka internet dan melayari
laman-laman berita dan blog tertentu. Ternyata laman ini lebih pantas
menyalurkan maklumat, mereka melaporkan beberapa negeri sudah jatuh ke
tangan pembangkang.
Siaran TV berterusan dengan perbualan memualkan sehinggalah menamatkan
siaran liputan keputusan pilihan raya itu kira-kira jam 3.00 pagi.
Ketika menamatkan liputan itu, keputusan pilihan raya negeri-negeri
masih tergantung. Penonton tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Mereka dibiarkan tertunggu-tunggu sedangkan siaran TV menyiarkan
rancangan-rancangan ulangan yang membosankan.
Inilah TV dan radio di Malaysia yang menunjukkan bahawa ia betul-betul
menepati peribahasa ‘katak di bawah tempurung’. Masakan tidak kerana
orang di seantero dunia sudah tahu perkembangan dalam negara kita
sedangkan sesetengah orang di Malaysia sendiri masih belum
mengetahuinya.
Syabas TV dan radio di Malaysia yang agaknya cuba membawa rakyat Malaysia ke Zaman Batu!
Sesetengah pengundi dengan lantang berkata: "Kami dah tak percaya pada berita di TV."
Syukur pada era internet sekarang ini tidak perlulah lagi kita berasa
'mual nak muntah' dengan 'gelagat' radio dan televisyen Malaysia dalam
menyiarkan keputusan PRU. Bukan hanya keputusan pilihan raya, bahkah
hampir keseluruhan senario pilihan raya sudah berubah dengan adanya
media sosial yang kian bercambah.
Seorang pakar komunikasi, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy dalam
artikelnya bertajuk 'Media sosial mampu pengaruhi pengundi PRU-14'
antara lain menulis; "PRU-14 yang bakal diadakan berunsur 'Facebook
Election' berikutan populariti media ini yang menyalurkan maklumat yang
lebih banyak berbanding dengan platform media sosial lain seperti
Twitter dan Instagram.
World Internet Stats merekodkan daripada penduduk Malaysia mencecah 31
juta, pengguna plaform Facebook sahaja mencecah hampir 20 juta orang.
Ini menunjukkan hampir dua pertiga daripada masyarakat kita lebih
terdedah kepada penggunaan Facebook, terutama dalam menyalur dan
berkongsi maklumat secara online, apatah lagi aliran ini akan melonjak
berkali ganda apabila musim PRU.
Ia juga banyak berkait rapat dengan elemen yang mampu disalurkan oleh
platform ini berbanding platform media sosial lain, seperti versi berita
online oleh pemberitaan agensi media perdana mahu pun media internet
persendirian, portal, blog, video interaktif, mahu pun video yang dimuat
naik oleh netizen yang mempunyai keluhan pendapat tersendiri dan unsur
lain yang dimuat naik serta dikongsi banyak kali.
Sudah tentu, pembentukan masyarakat berteknologi tinggi membantu orang
ramai mendapatkan keputusan pilihan raya yang cepat dan tepat, lantas
'mengalahkan sama sekali' laporan media tradisional yang memual dan
menjengkelkan!
Andai anda wahai pembaca mahu mengakhiri 'kemualan bagi nak muntah'
mengikuti keputusan pilihan raya, eloklah 'tidurkan saja' radio dan
televisyen Malaysia! Kalau tak 'muntah', hampir pasti hati anda akan
'sakit sesakitnya'!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan