DETIK DAILY
Oleh Zin Mahmud
Bekas menteri persekutuan dan menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi
Junid meninggal dunia awal Jumaat minggu lalu. Allahyarham adalah bekas
ahli politik Umno dan Umno Baru, tetapi di akhir hayatnya beliau adalah
ahli PPBM. Namun sepanjang hayatnya, beliau adalah penyokong Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Allahyarham pertama kali keluar Umno pada 2008 bersama Dr Mahathir
kerana membantah kepimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah
Ahmad Badawi. Beliau turut bersama Dr Mahathir menyertai semula Umno
selepas kepimpinan bertukar kepada Datuk Seri Najib Razak.
Beliau sekali lagi keluar dari Umno, juga bersama Dr Mahathir pada
2016 sebagai membantah kepimpinan Najib. Apabila Dr Mahathir menubuhkan
PPBM, beliau turut menyertai parti pembangkang itu.
Pertama kali penulis berjumpa beliau pada 1980. Pada masa itu,
penulis berada di tahun dua Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Ia
adalah semasa satu majlis anjuran Biro Tata Negara di sebuah banglo
milik Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di Kuala Lumpur. Beliau
beri ucapan pada majlis itu. Turut hadir ialah Abdullah.
Sanusi pandai bercerita dan seperti kebanyakan orang, penulis juga terhibur dengan ceritanya dan kagum pada kreativiti beliau.
Pada masa itu, Sanusi berusia 37 tahun dan merupakan timbalan menteri
dalam negeri, sementara Abdullah pula adalah timbalan menteri Wilayah
Persekutuan. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih menjadi presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Sanusi sendiri antara pengasas Abim dan pernah menjadi naib
presidennya. Najib pula adalah ahli Parlimen Pekan yang disandangnya
sejak 1976.
Kali ke-2 penulis menemui Sanusi ialah pada tahun sama juga, tetapi
di kediaman Dr Mahathir yang ketika itu ialah timbalan perdana menteri
di Bukit Tunku dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan untuk
sekumpulan pelajar UPM. Abdullah juga hadir. Tun Musa Hitam yang
dijadualkan hadir, bagaimanapun tidak dapat bersama kami.
Tetapi ketika itu, Musa, Abdullah dan Sanusi dilihat sebagai “orang
Mahathir” yang bersedia berperanan sebagai satu pasukan, apabila Dr
Mahathir menjadi perdana menteri.
Pada 1981, Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan Musa yang
merupakan naib presiden Umno dipilih sebagai timbalan perdana menteri
dan Sanusi pula dilantik sebagai menteri pembangunan negara dan luar
bandar. Abdullah pula dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana
Menteri.
Menjelang pilihan raya umum 1982, Anwar dibawa masuk ke Umno. Beliau
kemudian dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri,
sementara Najib menyandang jawatan menteri besar Pahang.
Semasa menjadi pemberita Utusan Malaysia dari 1982 hingga 1986,
penulis sering membuat liputan acara-acara yang melibatkan Anwar,
Abdullah, Sanusi dan Najib.
Sanusi menjadi menteri pembangunan negara dan luar bandar sehingga
1986. Sepanjang masa itu, pergolakan politik dalam Umno membabitkan
persaingan Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Kedua-duanya bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno dalam 2
pemilihan. Dalam pertandingan itu, Dr Mahathir memihak kepada Musa,
begitu juga Sanusi.
Kedudukan Sanusi sebagai orang kanan Dr Mahathir lebih terserlah
apabila beliau dilantik sebagai setiausaha agung Umno pada 1984.
Dalam rombakan Kabinet 1986, beliau dilantik sebagai menteri
pertanian menggantikan Anwar yang menyandang jawatan itu sejak 1985.
Anwar dilantik menjadi menteri pelajaran menggantikan Abdullah yang
dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.
Satu ketika selepas Anwar dilantik menjadi menteri pPelajaran,
penulis berjumpa Sanusi di Kementerian Pertanian. Masa itu, penulis
bertanya sama ada Dr Mahathir sedang menyediakan Anwar untuk menjadi
perdana menteri. Daripada jawapannya, beliau tidak suka soalan itu.
Tafsiran penulis ialah beliau tidak setuju Dr Mahathir memberi laluan
cepat untuk Anwar.
Pada 1987, tercetus krisis Dr Mahathir dan Musa. Dr Mahathir memilih
Tun Ghafar Baba, seorang naib presiden Umno menggantikan Musa untuk
menjadi timbalan perdana menteri.
Musa beregu dengan Tengku Razaleigh menentang Dr Mahathir. Sanusi menyokong Dr Mahathir.
Ada pemerhati berseloroh menamakan penyokong Dr Mahathir dengan
singkatan A.I.D.S, iaitu Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi
semasa pertarungan itu.
Pada masa itu, Abdullah dianggap “orang Musa” dan digugurkan daripada Kabinet pada 1987.
Pada 1988, Umno diisytiharkan haram. Tengku Razaleigh menubuhkan
Semangat 46 dan Dr Mahathir mewujudkan Umno Baru. Sanusi terus bersama
Dr Mahathir dalam Umno Baru. Pada 1990, beliau menjadi naib presiden
Umno Baru.
Abdullah pula turut bersama Dr Mahathir dan pada 1991, kedudukannya
dalam Kabinet dipulihkan dengan beliau dilantik menjadi menteri luar.
Pada 1993, Umno mengadakan pemilihan. Anwar sedang merancang
menyingkirkan Ghafar. Beliau menubuhkan “Team Wawasan” yang terdiri
daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib dan Tan Sri Muhammad Muhammad
Taib bagi jawatan naib presiden.
Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman untuk
jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita. Ketua Pemuda dan ketua Wanita
juga bertaraf naib presiden.
Ini bermakna Abdullah dan Sanusi menjadi calon-calon yang menentang
pasukan Anwar. Ghafar menarik diri dan Anwar menang tanpa bertanding
bagi jawatan timbalan presiden. “Team Wawasan” menyapu bersih semua
jawatan naib presiden.
Ekoran kemenangan pasukan itu, Sanusi digugurkan daripada Kabinet
pada 1996 dengan Dr Mahathir melantiknya sebagai menteri besar Kedah.
Tetapi, Abdullah kekal menteri luar. Najib pula dilantik menteri
pendidikan pada 1995.
Apabila berlaku krisis antara Dr Mahathir dan Anwar pada 1998, semua
tokoh Umno termasuk Abdullah, Sanusi dan Najib bersama Dr Mahathir.
Perdana menteri itu melantik Abdullah sebagai pengganti Anwar dan
mereka berjaya mematahkan cabaran pembangkang pada pilihan raya umum
1999.
Najib kekal sebagai menteri pendidikan, tetapi Sanusi mengakhiri kerjaya politiknya dengan tidak lagi menjadi menteri besar.
Pada 2000, Sanusi dilantik sebagai presiden Universiti Islam
Antarabangsa (UIAM), sementara Najib berpindah ke jawatan menteri
pertahanan.
Pada 2004, Dr Mahathir bersara dan melepaskan jawatannya kepada Abdullah dan Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Abdullah memperkenalkan gagasan Islam Hadhari dan mengarahkan UIAM
dijadikan pusat mengetengahkan konsep ini. Sanusi tidak setuju dan
melepaskan jawatannya sebagai presiden UIAM pada 2008.
Walaupun Dr Mahathir sudah bersara daripada politik, tetapi beliau
menggunakan pengaruhnya ke atas kerajaan. Beliau mengenakan tekanan
terhadap Abdullah. Usaha beliau itu disokong Muhyiddin yang merupakan
naib presiden Umno, Sanusi juga menyebelahi Dr Mahathir.
Tekanan Dr Mahathir itu berjaya menyebabkan Abdullah melepaskan
jawatan dan Najib menjadi perdana menteri pada 2009. Beliau juga
melantik Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.
Selepas itulah penulis berjumpa Sanusi buat kali terakhir, iaitu di sebuah hotel berbentuk rumah miliknya di Bangsar.
Pada masa itu, beliau sudah berhati-hati dalam soal pemakanan kerana penyakit berkaitan jantung.
Tetapi, beliau adalah tokoh yang memberi sumbangan besar kepada usaha
pemakanan sihat di negara ini. Ketika menjadi menteri pertanian, beliau
melancarkan kempen makan ulam dan minum air kelapa.
Selepas pilihan raya umum 2013, Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan pentadbiran Najib, khususnya berhubung isu 1MDB.
Muhyiddin juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap ketuanya.
Maknanya ada tanda-tanda supaya Najib berundur seperti mana dialami
Abdullah.
Ternyata Sanusi turut menyebelahi Dr Mahathir. Tulisan beliau dalam blognya menyerlahkan perkara ini.
Apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin menubuhkan PPBM, beliau pun turut
serta. Maknanya sehingga akhir hayatnya, beliau adalah tonggak kepada
politik Dr Mahathir.
Semasa berkuasa dahulu, Dr Mahathir memberi jawatan timbalan perdana
menteri kepada Musa, Anwar, Abdullah dan Najib yang akhirnya tidak
disenangi beliau.
Bayangkan kalau Sanusi yang diberi peluang oleh Dr Mahathir untuk
menjadi timbalan perdana menteri dan akhirnya menerajui negara ini.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan