Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Amanah Titiwangsa terbuka dan menyokong siapa sahaja calon
yang akan diletakan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi
parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Amanah Titiwangsa, Zaharudin Othman memberi jaminan bahawa parti
akan membantu calon tersebut sekaligus mencapai kemenangan di kerusi
Barisan Nasional (BN) itu.
Beliau berkata demikian mengulas desas-desus kemungkinan Timbalan
Pengarah Dasar dan Strategi PPBM, Wan Saiful Wan Jan dipilih untuk
bertanding Parlimen Titiwangsa.
Ini berikutan beliau dilihat mengadakan tinjauan di pasar malam Kampung
Pandan, di bawah kawasan Parlimen Titiwangsa pada Rabu lalu.
"Saya rasa itu keputusan Pakatan Harapan untuk memastikan kemenangan maksima dalam PRU 14.
"Segala pertimbangan telah dibuat dan kami (Amanah) menerima keputusan itu sebulat suara.
"Kami juga akan terus memberi sokongan dan membantu Pakatan Harapan menang di sini," katanya dihubungi Antarapos.
Wan Saiful dispekulasikan akan diletakkan bertanding di kerusi bandar,
termasuk Titiwangsa, satu-satunya kerusi di Kuala Lumpur yang akan
ditanding oleh PPBM.
Bagaimanapun beliau enggan mengesahkan desas-desus itu.
Sebelum ini, berlaku perebutan kerusi Parlimen Titiwangsa antara Amanah dan PPBM.
Amanah Titiwangsa turut menyatakan kekecewaannya selepas tidak mendapat
walaupun satu kerusi di Kuala Lumpur, meskipun sudah melakukan gerak
kerja sejak parti ditubuhkan, dua tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Amanah terpaksa mengalah dan akur dengan arahan PH.
Sikap Amanah yang berjiwa besar itu mendapat pujian Pengerusi PH Tun Dr
Mahathir Mohamad sewaktu konvensyen parti itu pada awal Januari lalu.
Ketika ditanya tentang parti mana yang bakal menang jika berlaku
pertembungan tiga penjuru, Zaharudin menyatakan PH akan menang jika
jentera bekerja keras sewaktu kempen berlangsung.
"Kami melihat bukan dari konteks calon tetapi dari konteks parti itu
sendiri (Pakatan Harapan), awal lagi kami sudah buat kajian mengenai
perembungan tiga penjuru.
"Melalui kajian itu kebarangkalian untuk menang itu ada namun kena bersungguh-sungguh berkempen.
"Saya juga yakin bahawa Pakatan Harapan akan menang jika bertemu PAS dan Barisan Nasional," tambahnya.
Pada tahun 2013, Titiwangsa dimenangi oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani dengan hanya 866 undi majoriti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan