BENTONG: Bola sepak negara masih memerlukan perkhidmatan dan sumbangan
Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membangunkan
arena sukan nombor satu negara itu.
Sehubungan itu, menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
Tunku Ismail tidak perlu meninggalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM).
"Tidak ada orang lain boleh ganti tempat beliau bagi menerajui bola
sepak negara dan beliau tidak boleh meninggalkan bola sepak negara,"
katanya dalam sidang akhbar pada majlis perasmian Program Fit Malaysia
Peringkat Negeri Pahang di Padang Tras di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan.
Kelmarin Tunku Ismail yang lebih dikenali dengan TMJ meletak jawatan
Presiden FAM dengan memberi alasan kedudukan Harimau Malaya yang jatuh
ke kedudukan ke-178 dunia.
Ini adalah kali kedua Tunku Mahkota Johor itu melepaskan jawatan dalam
FAM setelah pertama kali melakukannya pada Februari 2015 tidak lama
selepas dilantik sebagai Penasihat Presiden oleh Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah ketika itu.
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam nada sinis berkata
sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan kerusi No. 1 dalam badan
induk tersebut kerana ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini merupakan kedudukan
terburuk dalam sejarah bola sepak negara kerana Malaysia jatuh tiga anak
tangga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan