KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk
Ahmad Rasidi Hazizi menyelar majalah The Economist di London kerana
menyiarkan artikel mengenai Malaysia yang disifatkan mengandungi
kesilapan serius selain memperkecilkan Perdana Menteri dan kerajaan.
Dalam kenyataan menerusi 'Surat Kepada Pengarang', Ahmad Rasidi
berkata, artikel terbaru mengenai Malaysia iaitu 'Berhenti, Pencuri'
bertarikh 10 Mac, hanyalah reaksi pemikiran kolonial yang sombong selain
merendahkan kemampuan pihak berkuasa, badan kehakiman, Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR), media dan pengundi di negara ini.
"Sebagai contoh, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) tidak pernah
menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 'menyalurkan keluar'
dana, dan tidak pernah menyatakan bahawa dana itu adalah 'hadiah
daripada peminat yang tidak dinamakan'.
"Malah, Perdana Menteri dan beberapa pegawai sebelum ini menyatakan
bahawa dana yang sebahagian besarnya sudah dikembalikan itu adalah derma
daripada keluarga diraja Arab Saudi.
"Perkara itu sudah disahkan oleh Menteri Luar Arab Saudi, yang secara
umum menyatakan bahawa dana itu 'sumbangan dengan tanpa apa-apa yang
diharapkan sebagai balasan' dan pihak berkuasa negara terbabit turut
mempertimbangkan perkara itu ditutup," katanya dipetik laporan Utusan
Malaysia.
Menurut Ahmad Rasidi lagi, artikel berkenaan yang mempertikaikan
persempadanan semula kawasan pilihan raya ekoran pertumbuhan penduduk
dan menganggap "menipu sistem" jelas menunjukkan sikap "double standard"
negara Barat dan seluruh dunia.
Katanya, dakwaan The Economist itu seolah-olah membayangkan bahawa
banyak negara yang mengamalkan demokrasi adalah salah, termasuk Britain
yang dijangka melakukan perubahan kawasan penting sebelum pilihan raya
akan datang.
Ahmad Rasidi berkata, di Malaysia, perubahan kawasan itu dicadangkan
dan dilaksanakan oleh SPR secara bebas dan kemudiannya diluluskan oleh
badan perundangan.
Katanya, sejak Najib alih jawatan pada tahun 2009, pendapatan negara
kasar Malaysia meningkat lebih daripada 50 peratus, manakala lebih 2.3
juta pekerjaan diwujudkan.
Selain itu, katanya, kadar pengangguran dan inflasi terus rendah dan kadar kemiskinan juga sudah berkurangan dengan ketara.
"Memang tidak dinafikan, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang
cepat dan ia terbukti apabila Bank Dunia terpaksa menaikkan anggarannya
untuk pertumbuhan negara sebanyak tiga kali pada tahun 2017, kepada 5.8
peratus.
"Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa pelan kerajaan untuk
kesejahteraan ekonomi dan keselamatan rakyat di Malaysia sudah
dilaksanakan.
"Inilah kisah sebenar Malaysia. Artikel anda (The Economist) nampaknya
berasaskan kepalsuan semata-mata yang ditekan oleh parti pembangkang dan
penyokong mereka untuk mendapatkan keuntungan politik menjelang pilihan
raya akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan