KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik yang dibentuk antara pengilang,
pengeluar dan pengedar dalam menjenamakan semula Kedai Rakyat 1Malaysia
(KR1M 2.0) dapat meningkatkan kuasa beli rakyat, kata Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata lebih ramai pekedai juga boleh menjadi rakan kongsi KR1M
2.0 kerana model perniagaannya lebih terbuka dan melibatkan lebih ramai
pihak swasta serta peniaga.
“Kerajaan menyasarkan untuk membuka sehingga 3,000 premis yang turut
melibatkan peniaga-peniaga runcit, sekaligus merancakkan lagi
pertumbuhan ekonomi bermula dari akar umbi kerana peniaga kecil juga
boleh mendapatkan manfaat daripada kerjasama strategik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perdana menteri mengenai KR1M 2.0 yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com hari ini.
KR1M 2.0, dengan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan terhadap skim
lama yang ditamatkan pada September 2017, dilancarkan pada 4 Februari
lepas.
Perdana menteri berkata berdasarkan trend pembelian rakyat di pasar
raya mini yang kian meningkat, kerjasama strategik pelbagai pihak dalam
membuka lebih banyak premis KR1M 2.0 akan memudahkan rakyat mendapatkan
penjimatan di kawasan berhampiran mereka kelak.
Tambahnya, sebanyak 50 barangan keperluan harian pelbagai jenama akan
disenaraikan bawah inisiatif meningkatkan kuasa beli yang akan dibuat
secara berperingkat.
"Jika sebelum ini produk dijenamakan bawah nama KR1M, model baru KR1M
2.0 ini membolehkan rakyat membeli barangan berjenama seperti di pasaran
pada harga lebih rendah, meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan