HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mac 2018

Basmi kemiskinan kanak-kanak bandar tanggungjawab siapa?

THE MALAYSIAN INSIGHT

Basmi kemiskinan kanak-kanak bandar tanggungjawab siapa?
Laporan Unicef tentang keadaan kanak-kanak di perumahan pangsapuri di kawasan bandar Kuala Lumpur mendedahkan situasi buruk mengenai peluang warga muda ini untuk membesar dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight,

KEMISKINAN adalah satu persoalan yang kompleks dan sukar dihuraikan. Kompleks kerana tidak ramai yang mengetahui erti sebenar kemiskinan, apatah lagi apabila menjurus kepada aspek kemiskinan bandar atau yang terkini; kemiskinan kanak-kanak bandar.

Tidak kurang juga mereka yang bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan kemiskinan kanak-kanak dan bagaimana ini terjadi?

Laporan Kemiskinan Kanak-kanak Bandar yang diterbitkan oleh Unicef baru-baru ini seolah-olah tamparan yang mengejutkan kita semua dari tidur yang lena. Laporan ini banyak memberi gambaran dan fahaman baru kepada masyarakat yang selama ini menganggap Malaysia sudah mencapai sifar kemiskinan.

Peratusan terkini meletakkan tahap kemiskinan di Malaysia pada 0.4%. Malangnya, peratusan ini langsung tidak menggambarkan laporan yang disediakan Unicef.

Menurut laporan Unicef tersebut, kemiskinan kanak-kanak bandar ini bukan hanya menjurus kepada wang ringgit semata-mata, tetapi juga melihat kepada aspek penting yang lain seperti keperluan pendidikan, pemakanan seimbang, jaringan sokongan keluarga dan aspek keselamatan.

Kaji selidik ini meliputi 17 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang mana lazim diketahui umum merupakan kawasan perumahan bagi kebanyakan penduduk miskin bandar. Kaji selidik ini turut melibatkan 2,142 orang kanak-kanak.

Antara fakta menyayat hati saya ialah apabila mendapati lebih 35% jumlah keluarga yang berpendapatan isi rumah bawah paras RM2,000. Pastinya peratusan ini amat membimbangkan kerana ini menyebabkan kanak-kanak miskin luar bandar tidak mampu mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan pemakanan seimbang bagi memastikan tumbesaran yang baik.

Pada 2013, apabila saya mula menjalankan aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan bersama penduduk PPR di sekitar Selangor, ia membuka mata saya.

Antaranya ialah rumah yang hanya mempunyai dua bilik tetapi didiami isi rumah seramai 5-7 orang, ruang rumah menjadi kurang kondusif dan tidak lagi sesuai untuk pembesaran anak- anak yang bersekolah terutamanya.

Selain itu, Unicef juga melaporkan, ramai antara penduduk PPR selalu risau tentang keselamatan anak-anak dan lebih senang memastikan anak-anak mereka hanya duduk belajar di rumah. Ini secara langsung mengakibatkan kanak-kanak ini kurang menumpukan perhatian dan cepat bosan.

Selain daripada masalah kurang dapat menumpukan perhatian, kekurangan ruang yang kondusif ini akan membawa kepada masalah yang lebih membimbangkan. Kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada pelbagai bentuk kes jenayah seperti rogol dan sumbang mahram.

Bayangkan jika rumah dua bilik ini didiami antara lima hingga tujuh orang ahli keluarga yang terdiri daripada tiga generasi keluarga (datuk, nenek, ibu bapa dan kanak-kanak), ia boleh menyebabkan kurangnya privasi dalam kalangan ahli keluarga.

Dapatan daripada laporan menyatakan kes seumpama ini mencatatkan peratusan membimbangkan iaitu 22%.

Persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang gemar melabel penduduk PPR pemalas dan memiliki mentaliti kelas ketiga adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan menyediakan pendidikan sivik yang konsisten dan lebih penting, kemudahan asas di kawasan PPR.

Hasil kajian dan pemerhatian mendapati bahawa kemudahan-kemudahan yang disediakan di kawasan-kawasan PPR tidak dijaga dan diselenggara dengan baik kerana tunggakan pembayaran yuran pengurusan oleh penduduk.

Ini dapat diunjurkan dari peratusan keluarga berpendapatan RM2,000 ke bawah yang merupakan golongan majoriti yang tinggal di kawasan PPR.

Dengan jumlah pendapatan yang minima, adalah lazim bagi mereka menggunakannya untuk perkara yang lebih penting seperti sewa rumah, hutang kereta dan keperluan makan minum dan persekolahan anak-anak, walaupun keberangkalian tidak mencukupi itu sangat tinggi.

Mengetahui masalah ini, kerajaan seharusnya mengambil langkah lebih proaktif untuk membantu golongan miskin tegar untuk memastikan kelangsungan hidup mereka, tetapi kerajaan sekali lagi, gagal.

Jika diteliti dengan lebih lanjut, program sedia ada yang diterbitkan dalam laporan itu langsung tidak menyebut tentang aspek fasiliti dan kemudahan yang baik kepada golongan isi PPR.

Lebih 80% program sedia ada hanyalah berunsur elaun dan bantuan wang ringgit walaupun kerajaan sedar permasalahan kemiskinan bandar ini lebih dari sekadar keperluan ringgit.

Melalui pengalaman saya, kebanyakan PPR hanya mempunyai sebuah dewan kecil di aras paling bawah yang hanya mampu menempatkan anggaran antara 50-70 orang pada satu-satu masa.

Dewan kecil ini juga tidak boleh dijadikan sebagai bilik atau ruang sosial bagi kanak-kanak dan remaja yang menginap di blok PPR berkenaan kerana penggunaan kerap untuk program komuniti lain di hujung minggu atau dengan sengaja ditutup untuk penggunaan awam.

Jadi, bagaimana kanak-kanak ini mahu mempunyai ruangan bersosial sihat?

Fenomena kemiskinan kanak-kanak bandar ini tidak boleh terus dibiarkan dan dipandang remeh. Kanak-kanak merupakan aset penting kepada masa depan masyarakat dan negara.

Jika penyakit ini terus dibiarkan melarat tanpa solusi dan bantuan khusus, maka anak-anak ini akan terus tercicir bukan sahaja dari segi pembelajaran tetapi faktor kesihatan dan pembangunan individu.

Pendidikan memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan mereka yang lebih cerah.
Memetik kata pemimpin dan aktivis dari Afrika, Julius Nyerere:  “Pendidikan adalah bukan untuk manusia mengelak dari kemiskinan tetapi adalah senjata dalam membasmi kemiskinan.”

Jelas, dalam hal ini, selain masyarakat sendiri, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat di kawasan PPR ini tidak terasa terpinggir dan mampu menjadi aset utama kepada pembangunan institusi pendidikan, keluarga, masyarakat dan negara.

“As long as poverty, injustice and gross inequality persist in our world, none of us can truly rest.” – Nelson Mandela

* Nurainie Haziqah Shafii adalah ketua Srikandi PKR Selangor

Tiada ulasan: