KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah
mengingatkan semua pihak supaya tidak membawa isu-isu politik ke dalam
surau dan masjid semasa musim pilihan raya umum (PRU) ini.
Baginda bertitah, jika itu dilakukan ia akan memecahbelahkan kariah di
kawasan tersebut dan rakyat yang ingin menunaikan ibadat di rumah Allah.
“Suka beta mengingatkan kerana ini berlaku empat hingga lima tahun
sekali (PRU) maka janganlah kita terlalu teruja sehingga ada yang
membawa isu-isu politik ke dalam masjid,” titah baginda.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Baginda bertitah demikian ketika
berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis Tilawah al-Quran
Peringkat Negeri Tahun 1439 Hijrah bersamaan 2018 Masehi yang diadakan
di Dewan Warisan, di sini malam tadi.
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum
Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku
Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah berharap supaya rakyat
Perlis terus mengekalkan pematuhan terhadap larangan Majlis Agama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) agar tidak membawa isu-isu
politik ke dalam surau dan masjid.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan
menganugerahkan hadiah-hadiah kepada para pemenang bagi kategori qari
iaitu johannya, Muhammad Anas Abdul Hadi yang mendapat markah sebanyak
85.5% diikuti naib johan, Mohd. Mawardi Jamaludin (80%) dan Khalil
Khusairi Zainol (80.5%).
Tuanku Tengku Fauziah pula berkenan mengurniakan hadiah-hadiah kepada
para pemenang bagi kategori qariah iaitu johannya, Siti Aishah Md. Arif
yang mendapat markah 82.5% diikuti naib johan, Selasiah Akob (78.5%) dan
Sarina Che Yahya (77.5%).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan