Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi akur dengan apa
jua dengan keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS, sekiranya dikekalkan
sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Kata Exco Sukan, Belia Dan Adat Resam Melayu Selangor itu, sekiranya
namanya dipilih sebagai calon, beliau tidak teragak-agak untuk
'mematahkan' niatnya yang terdahulu menyatakan tidak mahu lagi memegang
mandat wakil rakyat pada penggal akan datang.
"Sebahagian besar dari calon-calon yang diberikan nama kepada pusat
untuk diteliti dan diambil keputusannya. Semua akan misal kata, mereka
tidak akan bertanding tetapi bersedia sekiranya diminta oleh PAS pusat.
"Kalau itu keputusannya, saya sebagai ahli PAS dan keputusan saya
bertanding selama ini atau pun tidak, bergantung kepada Majlis Syura
Ulama ataupun PAS pusat. Saya akur dengan apa juga keputusannya,"
katanya kepada Antarapos baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan
Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh, yang mengesahkah namanya
tersenarai antara calon bertanding mewakili parti itu pada PRU akan
datang.
Sebelum ini, Ahmad Yunus yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS
Selangor, secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menamatkan kerjaya
politiknya pada penggal akan datang.
Ujarnya, tempoh dua penggal bergelar wakil rakyat sudah memadai, namun
beliau tetap akur jika diarahkan PAS Pusat untuk bertanding pada PRU14,
kali ini.
Susulan itu, Nik Zawawi memaklumkan bahawa PAS Pusat masih belum dimaklumkan dengan hasrat Ahmad Yunus berkenaan.
Namun katanya, keputusan sama ada beliau akan dikekalkan sebagai calon
ADUN Sijangkang mahupun bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Kuala
Langat masih belum dimuktamadkan.
PAS bersama blok ketiga Gagasan Sejahtera (GAGASAN) dalam menghadapi
PRU14, baru-baru ini mengumumkan parti itu sudah selesai dalam proses
agihan kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara.
Malah, parti berteras Islam sudah pun memuktamadkan senarai calon
sekurang-kurangnya tiga nama yang akan bertanding di peringkat Parlimen
pada PRU14 akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan