Bagaimanapun, ia merupakan harga biasa bagi rumah di sekitar Pengerang dalam tempoh dua tahun lalu disebabkan pembinaan kompleks petro kimia besar di daerah dulunya kurang membangun.
Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) menjadi durian runtuh kepada penduduk di Pengerang dan berdekatan dengan Kota Tinggi, menerima tempias projek berkenaan apabila mereka menjadi pembekal air bersih, makanan dan minuman, dan sektor pengangkutan bagi pekerja warga asing yang pekerja di Rapid.
Pengerang yang sinonim dengan udang kara kini menikmati limpahan daripada pembangunan hub minyak dan gas serantau di tenggara Johor dan mula memberikan kesan kepada penduduk tempatan apabila mereka turut mengambil kesempatan dengan pembangunan itu.
Limpahan perniagaan yang dihasilkan Rapid memberi pendapatan tambahan kepada penduduk luar bandar itu dan mewujudkan perasaan positif terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Perasaan seperti itu perlu bagi BN kerana mereka berdepan kempen kuat daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan mereka daripada kerajaan Johor, yang pernah menjadi kubu kuat Umno.
Satu kajian baru-baru ini oleh Merdeka Center mendedahkan 51% rakyat Johor terbuka kepada idea untuk membiarkan parti lain mentadbir negeri ini.
Kerusi Parlimen Pengerang dan Kota Tinggi mempunyai empat kerusi dewan undangan negeri yang penduduknya menerima paling banyak manfaat daripada Rapid, sebuah terminal pemprosesan minyak dan gas bernilai AS$27 juta yang memulakan pembinaannya pada 2014.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Pengerang mempunyai 37,999 pemilih yang mana 87% adalah Melayu, 10% Cina, 2% diklasifikasikan sebagai lain-lain kaum dan India 1%.
Azalina Othman Said daripada BN mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 22,508 undi.
Kota Tinggi, sebuah daerah antara Pengerang dan ibu negeri Johor Baru, mempunyai 41,894 pengundi pada PRU13. Daripada jumlah itu, 86% adalah Melayu, 11% Cina, 2% India dan 1% dikelaskan sebagai orang lain.
Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid memenanginya untuk BN dengan 24,574 undi berbanding calon PAS Onn Jaafar.
Azalina mengakui ledakan perniagaan di Pengerang akan membantu beliau semasa pilihan raya akan datang yang dispekulasi diadakan antara akhir April hingga awal Mei.
"Pengerang ada dua projek besar, ada Rapid dan Taman Tema Air Desaru, rakyat Desaru bermanfaat daripada dua projek besar itu," kata Azalina, menteri yang menjaga urusan hal ehwal Parlimen.
"Akan ada kelebihan (untuk saya) sebagai ahli Parlimen," katanya kepada The Malaysian Insight.
Selamatkan perniagaan
R Ramalingam Pillai adalah seorang daripada ratusan penduduk di kawasan itu yang perniagaannya diselamatkan oleh Rapid.
"Pada 2009, saya ingat lagi bilik yang terjual hanyalah kira-kira 25%, namun sekarang secara berkala ia meningkat sehingga 90% sehari," kata pengarah urusan Kumpulan Lotus Desaru Hotel dan Resort yang mempunyai 1,350 bilik itu.
"Sekarang, setiap hari kadar penghunian saya 90%," katanya. Hampir semua pelanggannya adalah pekerja profesional dan mahir di Rapid.
""Kalau tidak ada Rapid, saya mati," kata Ramalingam, 55, dan menambah, beliau membuat keputusan tepat mengambil alih resort tersebut pada 2009.
Selain menyediakan bilik, resort juga menyediakan makanan kepada pekerja Rapid.
Pesisir pantai di sepanjang Desaru juga melihat ledakan pembinaan. Penduduk tempatan berkata kira-kira lima hotel bertaraf lima bintang akan dibina di kawasan itu termasuk satu yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad.
Namun begitu, seiring dengan pembangunan Rapid, infrastruktur asas seperti jalan utama yang dahulunya hanya dua lorong kini dinaik taraf kepada empat lorong sekali gus memendekkan masa perjalanan daripada 1 jam 45 daripada Johor Baru ke Desaru menjadi 40 minit.
Seorang pemandu bas untuk pekerja Rapid, Abdullah Mohammad, 60, berkata beliau dapat menambah pendapatannya dengan menyewakan sebuah bilik pada kadar RM800 sebulan.
"Itulah harganya sekarang, memang ada keuntungan untuk orang kampung. Kita tak nafikan, dulu kita bantah sebab pembahagian pampasan tanah tidak adil, tapi kita hanya ibarat anjing menyalak bukit waktu itu.
"Kita orang kampung ini ibarat mentimun, durian golek kiri kanan kita ikut sahajalah," katanya yang turut menerima pampasan apabila tanah pusaka milik keluarganya di Kampung Sungai Kapal diambil alih untuk membangunkan Rapid.
Harga sebuah pembangunan
Projek ini juga mengubah Kota Tinggi dan Pengerang, sebuah daerah berbukit yang dikenali sebagai ladang kelapa sawit.
Sebaik sahaja jalan dua lorong diperluaskan kepada empat lorong, lori dan bas setiap hari tida henti mengangkut pekerja asing dari Bandar Penawar ke Rapid.
"Saya mendengar malah peneroka Felda di Pengerang juga membuat keuntungan dengan menyewakan inap desa kepada pekerja."
Mohamad Noor Ezriq Tee, 28, seorang juruteknik di Rapid, menganggarkan pekerja asing tidak mahir memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan sebagai pekerja am di Rapid.
Penduduk tempatan dengan kemahiran sepertinya memperoleh antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
Anak jati Johor itu berkata, bagi rakan-rakannya yang memiliki rumah di kawasan sekitar pembangunan Rapid, mereka sanggup meninggalkan rumah dan menyewa di tempat lain untuk memperoleh pendapatan sampingan.
"Ada pekerja pembersihan di pejabat saya sewakan rumahnya di Bandar Penawar RM4,000 sebulan kepada syarikat dan beliau menyewa bilik lebih kecil di tempat lain RM800 sebulan.
Setiap bulan beliau untung RM3,200," katanya.
Di Kampung Sungai Rengit, penduduk desa mengubah kontena menjadi hostel pekerja, kata Ezri.
"Kontena ada empat. Setiap kontena dipisahkan menjadi dua bilik, setiap bilik diisi empat penyewa.
Bilik air ada tiga di luar. Setiap pagi kami beratur macam dalam cerita P Ramlee untuk gunakan bilik air," katanya.
Tetapi tidak semua gembira dengan perubahan ini. Walaupun Rapid meningkatkan perniagaan, permintaan yang lebih tinggi menjadikan kos barang makanan dan keperluan isi rumah naik.
"Itulah harga bagi pembangunan yang perlu dibayar. Tetapi pesara seperti saya yang terlalu tua untuk bekerja tidak melihat manfaat Rapid," kata Bachok Mante, 61 tahun.
"Orang muda boleh pergi dan bekerja di Rapid. Tetapi separuh daripada penduduk tempatan kecewa kerana ia menyebabkan harga barang naik," kata penduduk Kampung Sungai Rengit.
"Tetapi apa nak buat? Pilihan raya datang, kami masih akan mengundi 'dacing' (BN)."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan