KUALA LUMPUR: Kejadian sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong pada 6 Mac lalu, berpunca daripada tekanan pada bahagian sambungan 'elbow joints', sehingga terpaksa menampung lebihan beban secara berterusan.
Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dalam satu
kenyataan media hari ini, berkata dapatan berkenaan adalah hasil
siasatan awal terhadap insiden tersebut.
"Sepanjang beberapa tahun lalu, Splash sudah menulis beberapa surat
kepada kerajaan negeri untuk memaklumkan lojinya tidak direka untuk
beroperasi melampaui kapasiti sepatutnya secara jangka panjang (sejak
2013).
"Jika berlaku, tindakan sedemikian akan mengakibatkan kerosakan
intrinsik pada loji berkenaan yang akan membawa risiko berlaku kerosakan
tidak dijangka," katanya.
Menurut kenyataan itu, Splash memiliki 10 pam di loji terbabit dan
hanya lima daripadanya diperlu untuk menghasilkan air terawat bagi
kapasiti berlebihan beban berkenaan.
"Justeru, hakikat bahawa empat pam lain sedang dibaiki ketika insiden
berlaku adalah tidak penting dan langsung tiada kaitan dengan kejadian
itu atau operasi loji berkenaan," katanya.
Menurut kenyataan itu, kejadian sistem mampatan udara pecah itu berlaku
ketika operasi loji terbabit hampir pulih semula berikutan kejayaan
menyelesaikan kerja membaiki kerosakan dalam tempoh lebih awal daripada
dijadualkan.
Katanya, insiden itu mengakibatkan kerosakan struktur teruk pada sistem
berkenaan dan 50 pekerja dikerah serta-merta melaksanakan kerja
pembaikan itu secara berterusan di loji terbabit.
Menurut kenyataan itu lagi, Splash turut berdepan risiko berlakunya gangguan elektrik pada lojinya.
Katanya, operator Splash O&M, iaitu Sg Harmoni Sdn Bhd (SSP1) dan
Gamuda Water Sdn Bhd (SSP3) sudah menerima writ saman daripada Tenaga
Nasional Berhad (TNB) ekoran kegagalan membayar bil elektrik
masing-masing berjumlah RM36 juta dan RM39 juta.
Berikutan kegagalan membayar bil terbabit, TNB juga mengancam untuk memotong bekalan elektrik di loji Splash.
Splash terima bayaran tak setimpal
Selepas Air Selangor mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn
Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Konsortium ABASS
Sdn Bhd pada 2016, katanya, SYABAS di bawah pentadbiran baru terus
mengurangkan bayaran kepada Splash iaitu hanya kira-kira 36 peratus
daripada bil.
"Pada peringkat itu, tidak mungkin bagi operator Splash O&M
membayar bil TNB, kimia dan kos operasi lain. Sebelum Air Selangor
mengambil alih SYABAS, operator Splash berjaya menyelesaikan bil TNB.
"Ketika beberapa dialog diatur Kementerian Air, Tenaga dan Teknologi
Hijau untuk Splash dengan SYABAS, Air Selangor menjelaskan bayaran
kepada Splash perlu dikurangkan kerana perlu membuat pembayaran pajakan
baru kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) atas pembiayaan pembelian
ekuiti syarikat air.
"Kami berpendapat jika SYABAS/Air Selangor sebagai sebuah kumpulan
mengalami kekurangan wang tunai, mereka patut mendapatkan suntikan tunai
daripada kerajaan negeri dan bukan menghukum Splash.
"SYABAS harus mengutamakan bayaran kepada pemiutangnya dan hanya
selepas itu, mendahulukan sebarang lebihan wang kepada Air Selangor
untuk sewa pajak dan bayaran lain," katanya.
Menurut kenyataan itu, Splash sentiasa dikehendaki memenuhi 110 peratus
komitmen pembekalan sedangkan hanya menerima bayaran 36 peratus
daripada bilnya.
Walaupun menanggung kekurangan bayaran yang kronik itu, katanya, Splash komited memastikan pembekalan air tidak terganggu.
"Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Hannah Yeoh dan Santiago
(Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago) mesti tidak dimaklumkan mengenai
tanggungjawab itu apabila berceramah serta menuding jari.
"Splash sentiasa menghasilkan air pada tahap kualiti dan kuantiti
dikehendaki untuk SYABAS mengikut permintaan serta tidak pernah
memungkiri kewajipannya sebagai operator di bawah Perjanjian Konsesi
dengan kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Splash menegaskan pihaknya sentiasa menjalankan kerja
penyelenggaraan dijadualkan dan diaudit SPAN, yang terkini pada tahun
lalu.
Katanya, Splash komited mengekalkan standard kualiti tertinggi dan bersiap siaga menghadapi sebarang kontingensi.
"Splash diperakui dengan standard antarabangsa Kualiti, Alam Sekitar,
Keselamatan dan Kesihatan (QESH) serta lulus pensijilan tahunannya
dengan laporan sifar ketidakpatuhan (NCRs) sepanjang tujuh tahun lalu,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan