Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Insiden yang menimpa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor
Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong pada 6 Mac lalu boleh berulang sekali gus
menjejaskan pengguna air Lembah Klang jika Splash terus ditekan kerajaan
negeri Selangor.
ADUN Permatang (BN), Datuk Sulaiman Razak berkata beliau diberitahu
Splash tidak mendapat bayaran yang sepatutnya daripada kerajaan negeri
dan perkara itu menyebabkan syarikat berkenaan tidak boleh menyelenggara
tiga loji rawatan air (LRA) dengan baik.
Splash atau Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd mempunyai
tiga buah LRA iaitu LRA Sungai Bidong Fasa 3 (SSP3), LRA Bukit Badung
(SSP1) dan LRA Rasa.
"Hari ini SSP3 yang bermasalah, mungkin esok SSP2 pula yang akan hadapi
masalah. Apa yang jelas saya tengok kegagalan pengurusan Air Selangor
terhadap Splash. SSP3 ini di bawah Splash dan untuk makluman, Splash
tidak mendapat bayaran yang sepatutnya mereka dapat daripada Air
Selangor.
"Konsesi ini masih berjalan belum lagi ditamatkan atau diambilalih Air
Selangor. Maka sepatutnya Splash patut mendapat bayaran-bayaran
tertentu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
6 Mac lalu, sistem mampatan udara SSP3 pecah sehingga menjejaskan lebih 2 juta pengguna air di Lembah Klang.
Pengurusan Splash menerusi kenyataan medianya hari ini memberitahu,
insiden itu berlaku disebabkan tekanan pada bahagian sambungan 'elbow
joints', sehingga terpaksa menampung lebihan beban secara berterusan.
Splash sudah memanjangkan perkara itu ke pengetahuan kerajaan negeri
Selangor sejak 2013, namun tiada maklum balas daripada kerajaan negeri.
Menurut kenyataan itu, Splash sentiasa dikehendaki memenuhi 110 peratus
komitmen pembekalan sedangkan hanya menerima bayaran 36 peratus
daripada bilnya.
Pun begitu Splash komited agar pembekalan air tidak terganggu, sehinggalah insiden pada 6 Mac itu berlaku.
Splash juga menjalankan kerja penyelenggaraan seperti yang dijadualkan
dan diaudit Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), yang terkini pada
tahun lalu.
Mengulas perkara itu, Sulaiman mempersoalkan bagaimana Splash mahu
menyelenggara tiga LRA miliknya apabila kerajaan negeri hanya membayar
sekitar 30 peratus daripada harga sebelum pengambialihan syarikat
konsesi berlaku?
"Bagaimana syarikat ini mahu menyelenggara SSP1 dan SSP3? dan juga
Rasa, yang juga berada di bawah tanggungan mereka? Bagaimana mereka nak
selenggara tiga LRA ini, yang merupakan pembekal 60 peratus bekalan air
di Selangor?
"Bila tidak dapat bayaran yang sepatutnya, saya yakin syarikat ini
tidak dapat membuat penyelenggaraan ke atas ketiga-tiga loji yang besar
ini. Sebab itulah timbulnya isu paip pecah dan sebagainya. Sebagai
contoh kereta. Jika minyak hitam tak diselenggara, penghawa dingin tidak
diselenggara dan itu ini yang tak diselenggara, akhirnya ia akan
menyebabkan kerosakan yang besar pada kenderaan.
"Perkara yang sama juga apabila kenderaan ini tidak diselenggara," katanya.
Untuk rekod, kerajaan negeri beralasan terpaksa memotong pembayaran
kepada Splash berikutan Air Selangor terpaksa menggunakan lebihan duit
itu untuk membuat pembayaran pajakan baru kepada Pengurusan Aset Air Bhd
(PAAB) atas pembiayaan pembelian ekuiti syarikat air.
Selain itu bayaran kurang, Splash juga berdepan risiko bekalan elektriknya dipotong selepas mengalami tunggakan RM53 juta.
Mengulas perkara itu, Sulaiman berkata jika benar perkara itu terjadi,
pengguna air Lembah Klang akan sekali lagi mengalami gangguan bekalan
air.
"Untuk loji-loji di bawah Splash ini hampir RM53 juta bil elektrik
tidak dibayar pada TNB. Kalau TNB ambil tindakan potong bekalan, lagi
masalah besar pada loji ini. Bagaimana loji ini nak beroperasi?
"Semua ini adalah kegagalan kerajaan negeri. Jelas dan tidak boleh dinafikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan