HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2018

Slogan pilihan raya BN mirip kempen Trump

Slogan pilihan raya BN mirip kempen Trump
Iklan yang dikesan pada beberapa portal berita itu memaparkan slogan "Utamakan Yang Perlu, Hebatkan Negaraku" serta menampilkan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
SATU demi satu iklan dalam talian mula muncul, dan minggu ini sebuah video yang menampilkan ketua eksekutif utama menyanyi dan bermain gitar tersebar di alam maya, kedua-duanya dengan slogan yang sama: Hebatkan Negaraku, Hebat Negaraku.

Bunyinya mungkin tidak sama dengan apa-apa pun di dunia melainkan kalau diterjemahkan ke Bahasa Inggeris. Terjemahannya Make My Country Great hampir sama dengan slogan kempen pemilihan presiden Donald Trump pada 2016, Make America Great Again.

Sumber pengiklanan dalam talian berkata slogan itu adalah untuk kempen Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Ia dipadankan daripada Negaraku, slogan yang digunakan tahun lalu dengan 1Malaysia yang mula digunakan pada 2013.

Logo baru 1Malaysia Negaraku, yang masih mengekalkan angka 1 tetapi kini dalam warna biru dengan Jalur Gemilang melintang dan perkataan Negaraku pada tapaknya, ditampilkan dalam iklan dalam talian dan video muzik itu.

Iklan yang dikesan pada beberapa portal berita itu memaparkan slogan "Utamakan Yang Perlu, Hebatkan Negaraku" serta menampilkan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Najib Razak serta beberapa pencapaiannya.
Antara pencapaian yang dipaparkan ialah program pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sistem Transit Aliran Massa (MRT), rumah mampu milik di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Klinik 1Malaysia.

Muzik video bertajuk Hebat Negaraku itu dinyanyikan oleh eksekutif dna pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Aziz Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi UEM Sunrise, Zamzamzairani Mohd Isa.

Klip video sepanjang 4 minit 32 saat itu menampilkan lebih 10 ketua eksekutif bersama pegawai kanan dalam koir menyanyikan lagu Hebat Negaraku yang korusnya berbunyi "Hebat, Hebat, Hebat Negaraku".

Versi awal lagu itu dipersembahkan semasa hari terbuka GLC bersama PM di Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil bulan lalu.

Klip video Hebat Negaraku kelihatan diilhamkan daripada sebuah rakaman lain yang menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan dan kakitangannya dalam video ucap selamat Hari Raya dua tahun lalu.

Abdul Rahman, yang dilihat sebagai bintang dalam pentadbiran Najib, dikatakan mengetuai pasukan yang merangka manifesto BN yang dijadual diumumkan pada 7 April ini, petunjuk paling jelas pilihan raya umum akan diadakan dalam masa beberapa minggu saja lagi.

Akhbar harian The New Straits Times, yang dianggap suara kerajaan, semalam melaporkan BN akan mengumumkan senarai calonnya pada 2 April, iaitu minggu terakhir Parlimen bersidang.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam tadi bagaimanapun menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai "spekulasi media".

Sidang Dewan Negara yang dipercepatkan dan dijadual berakhir serentak dengan Dewan Rakyat pada 5 April menguatkan lagi bayangan Parlimen akan dibubarkan pada minggu pertama bulan depan.

Najib akan mengepalai BN untuk meminta sekali lagi mandat daripada rakyat serta mendapatkan semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang dinafikan sejak pilihan raya umum 2008.

Penganalisis dan pengurus dana asing memberitahu The Malaysian Insight bahawa BN akan kekal mentadbir Putrajaya walaupun berdepan asakan daripada Pakatan Harapan yang diketuai bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menarik sokongannya terhadap Najib bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Tiada ulasan: