HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2018

Lelaki pandu lawan arus maut bertembung van

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut ekoran memandu melawan arus apabila keretanya bertembung dengan sebuah van di Jalan Tuaran Bypass berdekatan restoran makanan segera di sini, tengah malam tadi.
 
Dalam insiden jam 12.30 tengah malam, pemandu kereta Toyota Vios, Yong Yuk Ken, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan.
 
Memetik laporan BH Online, pemandu van berusia 44 tahun pula patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II, manakala dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.
 
Kejadian itu turut dirakam melalui video papan pemuka pada sebuah kenderaan lain dengan durasi satu minit 24 saat yang menunjukkan Toyota Vios terbabit dari arah Inanam menghala ke Manggatal.
 
Berdasarkan rakaman itu, pemandu berkenaan dipercayai melawan arus dari Simpang Kalansanan menyebabkan beberapa kenderaan, termasuk lori dan bas ekspres, mengelak daripada melanggar keretanya.
 
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dilihat gagal mengelak lalu bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan.
 
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki dipercayai melawan arus lalu melanggar sebuah van dari arah bertentangan.
 
"Akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor.
 
"Siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
 
 

Tiada ulasan: