HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mac 2018

'Survival politik' pembangkang tamat jika RUU berita palsu lulus - penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: 'Survival politik' pembangkang akan sampai ke penghujungnya jika gagasan itu tidak membantah pelaksanaan undang-undang berita palsu, kata penganalisis politik, Edwin Michael Muniandy. 
 
Ini kerana pembangkang selama ini meraih sokongan rakyat dengan membentuk persepsi buruk terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) menerusi penyebaran berita-berita palsu serta tidak sahih.
 
"Saya lihat Modus Operandi yang sama digunakan dalam konteks akta berita palsu ini. Kenapa? Pertama sekali kita kena lihat mengapa pembangkang begitu menentang bersungguh-sungguh akta berita palsu ini. 
 
"Pertama sekali, siapa yang menyebarkan berita-berita palsu ini? Semudah itu. Itu yang kita perlu lihat, siapa yang menjadi punca kepada penyebaran berita palsu ini,"  katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Edwin berpandangan, jika undang-undang berita palsu dilaksanakan pembangkang seolah-olah 'patah kaki' dan segala modus operandi mereka untuk membangkitkan kemarahan serta kebencian rakyat kepada kerajaan Persekutuan akan lumpuh.
 
"Ini semua menguatkan asas perdebatan kita bahawasanya pembangkang sememangnya tidak sangka kerajaan akan menguatkuasakan atau bentang rang undang-undang berita palsu ini.
 
"Mereka juga tidak sangka bahawasanya 'survival politik' mereka selama ini sudah sampai kepada pengakhiran. Selepas ini tiada ruang lagi untuk mereka menggunakan berita palsu bentuk persepsi dalam usaha mengaburi para penyokong mereka," katanya lagi.
 
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) berita palsu akan dibentang di Dewan Rakyat, minggu depan. 
 
Jelasnya, akta itu bertujuan memperuntukkan beberapa kesalahan berkaitan penyebaran dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar.
 
Inisiatif ini juga melibatkan pertemuan dengan wakil gergasi internet Facebook, Google, YouTube, Twitter, serta Asia Internet Coalition untuk mendapatkan maklum balas mengenai RUU berkenaan.
 
Bagaimanapun, usaha penggubalan akta berkenaan dikritik hebat oleh pemimpin gagasan pembangkang. 
 
Termasuk, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, menyifatkan akta berita palsu dibawa kerajaan itu akan digunakan terhadap pembangkang dan parti mereka pada PRU14 nanti.
 
Tegasnya, ia sebagai usaha yang disasarkan kepada pemimpin pembangkang dan parti mereka untuk mendiamkan semua perbezaan.
 
Menguatkan pandangan beliau, Edwin memberi contoh kes yang melibatkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah atas tuduhan menfitnah Tabung Haji (TH) berkaitan beberapa siri pendedahan skandal di laman Facebooknya 2 tahun lalu.
 
"Kita lihat contoh terbaik adalah fitnah Rafizi Ramli terhadap Tabung Haji. Itu adalah persepsi, apa yang terjadi selepas itu ialah kita dimaklumkan lebih 3000 yang memiliki akaun Tabung Haji menutup akaun tersebut. 
 
"3000 lebih umat Islam Melayu menutup akaun akibat permainan persepsi dan berita palsu serta fitnah Rafizi Ramli. Ini satu bukti cukup kukuh menunjukkan mengapa pembangkang menentang kerasnya akta berita palsu," ujarnya.
 
Rafizi bagaimanapun mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” di Facebooknya bertarikh 9 Februari 2016, mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
 
Selain Bafia, Rafizi turut disabit bersalah dan dihukum penjara 18 bulan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan laporan audit 1MDB pada satu sidang akhbar.
 
Ahli Parlimen Pandan itu tidak boleh bertanding pada PRU14, jika gagal mengetepikan sabitan OSA bersama hukuman penjara 18 bulan.
 
 

Tiada ulasan: