SHAH ALAM: Polis berkata mereka sedang mengenal pasti lokasi ‘Datin
kejam’ yang gagal hadir di mahkamah untuk menyemak hukuman terhadapnya
kerana mendera amah Indonesia, lapor The Star.
Ketua polis Selangor Mazlan Mansor berkata, polis masih belum dapat
menjejak dia lagi dan kini sedang mendapatkan bantuan daripada peguam
Datin itu.
Mazlan berkata, tarikh akhir belum habis memandangkan notis mahkamah kepadanya untuk hadir adalah pada Jumaat ini.
Pihak berkuasa telah mencari Rozita di rumahnya di Petaling Jaya dan
Melaka dan juga mencari di rumah penjaminnya untuk memberikan notis itu
namun tiada siapa ada di rumah.
Jabatan Imigresen juga turut menyekat dia dari meninggalkan negara.
Pada Rabu, "Datin" Rozita Mohamad Ali, 44, dan penjaminnya, seorang
pegawai Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia gagal menghadiri
prosiding mahkamah.
Pada 15 Mac lepas, Mahkamah Sesyen itu mengenakan bon berkelakuan baik
selama lima tahun dengan jaminan RM20,000 terhadap Rozita selepas wanita
itu menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan pindaan
mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan terhadapnya dibacakan.
Rozita, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti Sutrinso,
21, dengan menggunakan sebilah pisau berhulu biru, sebatang mop lantai,
sekaki payung, sebatang rod besi berwarna biru, sebatang alat mainan
kucing dan penyangkut baju berwarna putih sebagai senjata untuk
menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, di Jalan PJU 7/30,
Mutiara Damansara, di Petaling Jaya, antara jam 7 pagi dan 12 tengah
hari, 21 Jun 2016.
Amah itu menderita pelbagai kecederaan di mata, kaki, tangan dan organ
dalaman. Tulang belikatnya patah, bahagian paru kanannya cedera,
terdapat darah beku berhampiran otaknya dan pipinya patah.
Kes itu menarik perhatian ramai selepas video memaparkan mangsa
ditemukan terbaring dalam keadaan parah di tepi longkang di kawasan
perumahan di Mutiara Damansara di Petaling Jaya oleh pengawal
keselamatan, menjadi tular di media sosial.
pengguna media sosial dan juga Migrant Care, sebuah pertubuhan yang
melindungi hak pekerja migran Indonesia mendesak pemerintah Malaysia dan
Indonesia serius dalam proses kehakiman yang dilalui tenaga kerja dari
negara itu.
Pengguna media sosial turut melampiaskan rasa yang sama terhadap keputusan itu.
Malah, petisyen dalam talian turut diadakan yang bertujuan untuk
menggesa agar Rozita dikenakan hukuman yang lebih tegas. Setakat ini
petisyen itu telah mendapat hampir 72,318 tanda tangan. Matlamat yang
ingin dicapai sebanyak 75,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan