HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Ogos 2018

Bergantung pada jenama Anwar

 
   
ULASAN | Bahang pemilihan PKR semakin terasa. Posisi kepemimpinan PKR yang dahulunya dipandang enteng ramai menjadi tumpuan ramai.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sah sebagai presiden PKR selepas tiada sesiapa pun ahli parti menghantar borang pencalonan bagi jawatan berkenaan pada akhir Julai lalu.

Lantaran itu, tumpuan ramai teralih kepada posisi nombor dua dalam parti yang menyaksikan pertembungan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Sayugia diingatkan, sebenarnya belum pun lagi pencalonan pemilihan PKR bermula, sudah wujud serangan demi serangan ditujukan terhadap Mohamed Azmin.

Lihat sahaja laporan media, 'spam' ke atas kumpulan WhatsApp wartawan, kenyataan demi kenyataan oleh beberapa pemimpin PKR termasuk sindiran daripada pembangkang.

Semuanya menjurus kepada serangan bersepadu mutlak ke atas Mohamed Azmin. Adalah menjadi rahsia umum bahawa sejak beberapa tahun lalu yang Rafizi tidak 'sebulu' dengan Mohamed Azmin.

Puncanya kurang pasti, namun berdasarkan pengamatan wartawan, cakap-cakap ahli parti ia bermula selepas Langkah Kajang, yang menyaksikan Mohamed Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor.

Ia membuatkan Rafizi cukup marah, malah ada yang mengatakan beliau berdendam kerana strateginya gagal begitu saja untuk mengangkat Anwar sebagai ketua kerajaan Selangor.

Berbalik kepada kempen pemilihan PKR kali ini, Rafizi bersama pasukannya terang-terangan menjaja nama Anwar bagi menuntut keabsahan untuk dipilih sebagai timbalan presiden parti.

Sana-sini Rafizi berkempen menjual nama Anwar dan gerakan reformasi berbanding Mohamed Azmin yang dilihat senyap, sebaliknya anak Kampung Klang Gate berkenaan terus menumpukan usaha merealisasikan Deklarasi Permatang Pauh menerusi kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin selaku antara pengasas PKR mungkin lebih tahu dan lebih merasa peritnya dibungkam dan disepak terajang oleh sang penguasa bernama Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira 20 tahun lalu.

Kini, sang penguasa sama memeluk agenda reformasi cetusan Anwar dan didukung Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamed Azmin, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Datuk Kamarudin Jaffar dan 'otai' reformis lain.

Dr Mahathir sudah mengiakan kesilapannya dan setuju menjayakan reformasi. Rafizi dan juak-juaknya boleh sahaja berkempen dengan berkata: "Jangan percaya dengan Mahathir."

Tetapi harus diingat perjuangan reformasi yang bermula di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur ketika Rafizi masih mengaji sudah bertapak di Putrajaya dan sedang melakar dasar negara.

Berbanding Rafizi dan juak-juaknya yang menjaja nama Anwar merata tempat, Mohamed Azmin bersama 'otai' reformis lain selepas 20 tahun telah pun melangkah jauh melepasi aura Anwar iaitu meletakkan agenda reformasi itu sendiri di Putrajaya.

Itulah yang sebaik-baiknya kerana reformasi itu tercetus akibat ketidakadilan terhadap Anwar dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya ketika BN berkuasa.

Tindakan menyerang Mohamed Azmin sehingga membabitkan pemimpin parti komponen dalam Pakatan Harapan bukannya perkara bijak, malah boleh meruntuhkan perjuangan reformasi itu sendiri.

Jika kempen sebegini tidak dihentikan, maka sia-sia sahajalah Anwar terhumban ke penjara. Sia-sia jugalah Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah serta adik-beradiknya meratapi kehilangan ayah.

Sia-sia jugalah penahanan, darah dan lebam Mohamed Azmin bersama 'otai' reformis lain akibat dipukul pasukan keselamatan seperti yang dilaporkan majalah Detik, Tamadun dan Wasilah dalam 20 tahun lalu.

Mungkin Rafizi sebenarnya tiada kekuatan dan tiada pilihan lain untuk menarik undi ahli PKR melainkan bergantung kepada jenama Anwar semata-mata. Wallahualam.


*SENDUKSIKU KELUANG sedang giat menyelidik kearifan tempatan berkaitan mistik, tulah, kuasa dan daulat Raja-raja dan pembesar-pembesar memerintah.

Tiada ulasan: