PKR mendakwa calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Dr Halimah Ali sebagai seorang yang tidak berintegriti apabila kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
Penolong Setiausaha, Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Dr Halimah seharusnya melepaskan jawatan dalam PPAS kerana memilih jalan untuk menentang kerajaan negeri sedia ada.
“PPAS adalah sebuah perbadanan yang berada di bawah kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimana seorang ahli lembaga pengarah kepada sebuah perbadanan kerajaan negeri boleh mengambil sikap menentang kerajaan dengan bertindak sebagai calon parti pembangkang?
“Beliau seharusnya meletakkan jawatan. Kegagalan beliau berbuat demikian menunjukkan beliau bukan sahaja tidak beretika malah gagal mempamerkan integriti profesional sebagai seorang calon,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau sehubungan itu mendesak Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk memecat Dr Halimah.
PRK DUN Seri Setia menyaksikan pertembungan Dr Halimah dengan calon PKR Halimey Abu Bakar.
Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat kanser kolon pada 2 Ogos lalu
Pada pilihan raya umum lepas, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan