HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Ogos 2018

Nasihat Wardina: Jujurlah, jangan guna gelaran palsu

MALAYSIAKINI

   

Personaliti terkenal Wardina Saffiyah menggesa masyarakat supaya tampil jujur mengenai diri sendiri dan tidak berpura-pura menggunakan sesuatu gelaran dengan sewenang-wenangnya.

Walaupun tidak memetik mana-mana nama individu secara khusus, Wardina dilihat menujukan hantaran di Facebook itu kepada pihak yang menggunakan gelaran palsu atau yang belum sampai waktunya untuk menerima pentauliahan.

“Nak nasihatkan dan mengingatkan kawan-kawan dan rakan-rakan jangan gunakan gelaran palsu,” katanya.

Melalui hantaran itu, Wardina menyatakan:

“Kalau bukan Dr jangan letak Dr, kalau bukan arkitek berdaftar (tak habis peperiksaan part 3) jangan gelar diri arkitek - sebab anda sebetulnya hanya siswazah.

“Kalau bukan pakar kaunseling, tak ada master (sarjana) dan seumpamanya, jangan gelar diri pakar motivasi/ kaunseling.

“Kalau bukan pakar psikologi (mempunyai ijazah dalam mana-mana bidang berkaitan) jangan gelar diri ahli psikologi.

“Kalau tak habis ijazah sarjana muda, jangan tipu cakap tamat pengajian dari mana-mana universiti atau (guna) universiti tipu dan tak diiktiraf,” katanya.




Bagi Wardina, tiada masalah timbul sekiranya seseorang itu tidak mempunyai pendidikan tinggi, namun yang penting adalah prinsip moral yang dipertahankan.

“Mari sama-sama budayakan sikap amanah dan integriti. Kalau kita tak habis belajar sampai universiti ianya tidak mengapa.

“Tiada masalah dengan perkara itu. SPM sudah OK. Cuma perlu jujur,” katanya.

Wardina ketika ini menetap di Brisbane, Australia bagi meneruskan pengajian dalam bidang psikologi.

Ibu kepada Amna Nafeesa, Azra Sareera, dan Imran Arrazi itu mengambil keputusan berhirah ke Australia pada 2014.

Status dimuat naik pelakon Spanar Jaya itu setakat tengah hari ini mendapat lebih 1,000 tanda suka selain 60 komen dan dikongsi lebih 100 orang.


Tiada ulasan: