HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Ogos 2018

Pemilihan PKR: Jangan guna kuasa, ugut untuk undi – Anwar

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR diarah memantau calon yang bertanding supaya tidak menyalah guna kuasa dalam usaha meraih kemenangan dalam pemilihan parti itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menang tanpa bertanding jawatan presiden parti, berkata ini termasuk mereka yang mempunyai jawatan tinggi seperti menteri, menteri besar dan exco kerajaan negeri agar mereka tidak menggunakan kedudukan untuk memujuk atau mengugut mana-mana anggota parti untuk meraih sokongan.

“Seperti disebut Pengerusi JPP PKR Datuk Rashid Din semalam, belum ada laporan rasmi tapi kebimbangan dah dengar dan disuarakan, dan saya dengan tegas mahu ini mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

“Selagi saya diberi mandat memimpin saya tidak akan bertolak ansur kerana parti ini ditegakkan untuk menentang rasuah, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan keangkuhan kuasa. Jadi dalam tindak tanduk kita, setelah kita menang, sama ada kawan atau lawan tidak harus pamerkan sikap sedemikian,” tegasnya.

Anwar turut mengingatkan JPP PKR supaya sentiasa bertindak bersih dan bebas sepanjang tempoh pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung dari 14 Sept hingga 13 Okt.

Beliau menekankan jika anggota JPP tidak mampu bersikap seperti itu, mereka harus berundur daripada jawatankuasa tersebut.

Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan yang memberi mandat kepada beliau untuk mengambil alih jawatan presiden daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada November ini.

Beliau mewakili anggota PKR yang lain dalam menyatakan penghargaan atas kejituan dan kewibawaan Dr Wan Azizah mengemudi PKR selama ini.

Dr Wan Azizah, yang hadir pada sidang media itu, mahu kesemua calon bertanding berpegang kepada prinsip parti yang diperjuangkan mereka demi kebaikan rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Kita jalankan proses pemilihan iaitu proses demokrasi kebiasaan dalam negara ini dan ia perlu bersih daripada unsur selar menyelar dan menjatuhkan individu lain selain lebih menekankan semangat perjuangan, kekeluargaan.

“Kita mahu pemilihan ini menunjukkan satu model bahawa PKR adalah parti yang membawa prinsip perjuangan ikhlas bukan sebaliknya,” katanya.

Kira-kira 800,000 anggota PKR layak memilih pada pemilihan parti itu.

Tiada ulasan: