KEADILAN DAILY
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berikrar memastikan lebih ramai pengasuh di Malaysia memperoleh kelayakan asas Kursus Asuhan dan Didikan Awal PERMATA (KAP).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kementerian wanita sudah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk melaksanakan kursus tersebut secara dalam talian.
“Kementerian sudah melaksanakan KAP Massive Open Online Courses secara dalam talian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Holdings Sdn Bhd yang mempunyai waktu pembelajaran fleksibel serta yuran kursus lebih murah.
“Kita juga mengiktiraf lebih banyak agensi latihan yang mengendalikan latihan pengasuhan bertauliah KAP dan memperhalusi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak yang mewajibkan semua pengasuh mempunyai syarat kelayakan serta pendidikan awal kanak-kanak, termasuk pengasuh di rumah yang akan mengikuti kursus khas,” katanya, memetik SelangorKini.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada sesi Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat.
Katanya lagi, 13,000 daripada 16,873 pengasuh di taska yang berdaftar dengan JKM sehingga Jun lalu tidak memenuhi syarat minimum.
Pada masa sama katanya, setakat 2013 hanya 2,171 orang daripada 5,720 lulusan KAP masih kekal dalam industri pengasuhan kanak-kanak sehingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan