MANAKAH yang lebih
utama, mempertahankan silaturrahim atau sikap politik? Secara peribadi,
mempertahankan hubungan keluarga atau silaturrahim adalah lebih utama
daripada mempertahankan sikap tentang politik. Bahkan, jika berbeza
pegangan akidah sekalipun, hubungan kekeluargaan dan silaturrahim tetap
perlu diteruskan dan dipelihara. Inilah adab dan akhlak ajaran Islam
yang mulia.
Jangan pula kita sesama keluarga, sanak
saudara dan jiran tetangga jadi porak peranda kerana sikap (pendirian)
politik yang berbeza. Politik jadi jijik, ekonomi jadi menindas,
silaturrahim jadi hancur, kerana tiada adab dan akhlak.
Keutuhan negara bergantung kepada
keutuhan masyarakatnya. Keutuhan masyarakat pula terletak kepada
keutuhan keluarga. Keutuhan keluarga pula dibina dengan kasih, adab dan
hormat. Kasih, adab dan hormat ini tanda kematangan. Sesuatu yang
matang, natijahnya kesejahteraan.
Apa ertinya sesebuah pemerintahan yang
dimegah dengan kemajuan dan kekayaan, sedangkan keluarganya tiada
kesatuan, masyarakatnya tiada kesejahteraan, politiknya tiada
kematangan?
PRU dah selesai. Kerajaan dah terbentuk.
Yang jadi pemerintah, tunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah. Kuasa
memerintah bukan untuk kemuliaan, tapi untuk pertanggungjawaban. Yang
jadi rakyat, tunaikan tugas sebagai rakyat. Pemerintah ada akhlak yang
perlu dicontohi, rakyat juga ada akhlak yang perlu dipatuhi. Akhlak yang
utama ialah memelihara silaturrahim. Sejauh mana pun kita berbeda, adab
dan akhlak akan menyatukan kita. Itulah tujuan utama Nabi S.A.W
dibangkitkan.
Hilang pengikut sesebuah parti, pengikut boleh dicari. Namun, putus hubungan silaturrahim, ia akan hilang dan tak dapat diganti.
"Budaya Politik Matang Sejahtera" HARAKAHDAILY
*AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN ,Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan