HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 November 2018

Rafizi jadi setiausaha agung cadangan baik, kata Anwar





SHAH ALAM: Presiden baharu PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan pemberita agar Rafizi Ramli dilantik sebagai setiausaha agung baharu, susulan pembentukan barisan kepimpinan baharu PKR hari ini.

Anwar menyahut pertanyaan pemberita yang meminta beliau mengesahkan peranan penting yang akan diberikan kepada Rafizi seperti yang diumumkan dalam ucapan pertamanya selaku presiden parti di Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

“Apa jawatan yang anda nak cadangkan?” katanya kepada pemberita, yang kemudian mencadangkan setiausaha agung. “Cadangan yang baik, terima kasih,” jawabnya pada sidang media selepas penangguhan kongres.

Anwar juga memberitahu beliau belum memutuskan jawatan untuk pengasas Invoke Malaysia itu.

Rafizi tidak menyertai barisan kepimpinan baharu PKR yang terpilih selepas pertandingan yang sengit antara pasukannya dan pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kira-kira 800,000 ahli memilih pemimpin tertinggi parti dalam pemilihan yang berlangsung dari 14 September hingga 10 Oktober.

Rafizi gagal menumbangkan Azmin Ali yang menduduki kerusi timbalan presiden sejak November 2010.

Rafizi ketika ditemui berkata dia menyerahkan soal lantikan itu kepada Anwar.

“Itu kuasa yang ada pada Anwar dan saya serahkan kepada dia. Jadi, kita tunggu. Dia yang akan merangka kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut ditanya mengenai ketiadaan pemimpin PKR Sarawak, Baru Bian pada kongres kali ini.

“Saya ada tegur dia tadi,” katanya ringkas.

Sementara itu, jawatan ketua umum dimansuhkan berikutan pemilihan Anwar sebagai presiden. Anwar berkata jawatan itu diwujudkan pada 2007 kerana beliau tidak boleh menjadi presiden pada ketika itu.

“Ia bukan dalam perlembagaan. Ia diwujudkan khas untuk saya yang ketika itu tidak boleh memegang sebarang jawatan,” katanya.

Anwar dilantik sebagai ketua umum melalui kongres PKR 2007 apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia melarang Anwar menyertai pemilihan parti selepas baru dibebaskan dari penjara.

Tiada ulasan: