KOTA KINABALU: Polis menahan 6 lelaki disyaki terlibat dalam kes samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kota Kinabalu Habibi Majinji berkata semua suspek berumur 20 hingga 37 tahun itu ditahan dalam 4 serbuan di sekitar bandar ini antara 7.30 pagi hingga 2.00 petang semalam.
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai RM180, kad pengenalan mangsa, lesen memandu pasukan, kad ATM, kad koperasi polis, buku nota kecil dan telefon bimbit dalam siri tangkapan itu.
“Semua suspek direman 5 hari bermula hari ini hingga 23 November bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Habibi berkata berdasarkan siasatan, anggota polis berumur 22 tahun itu disamun kira-kira 11.45 malam pada Jumaat di hadapan sebuah bank berhampiran Jalan Gaya.
Beliau berkata mangsa yang baru melapor tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 15 November lepas mengalami kecederaan bengkak di kepala sebelah kiri akibat disamun sekumpulan lelaki berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan