Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujudnya konspirasi dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri,
“Saya tidak pernah kata begitu. Berita palsu tidak akan dilayan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis presiden Harapan di Kuala Lumpur petang Jumaat,
Turut hadir Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar diminta mengulas mengenai laporan Financial Times, yang memetiknya sebagai berkata terdapat pihak yang atas sebab mereka sendiri ingin mensabotaj rancangan itu.
Beliau juga dipetik laporan itu berkata terdapat beberapa orang dalam gabungan parti pemerintah mempunyai agenda yang berbeza.
Presiden PKR itu berkata apa yang beliau maksudkan adalah terdapat elemen tertentu yang mungkin tidak setuju dengan pelan peralihan kuasa itu.
“Ia satu proses demokrasi. Apa yang penting PH (telah) bersetuju dan Mahathir dan saya telah bersetuju (mengenai peralihan kuasa),” jelasnya lagi.
Laporan Financial Times juga menyebut Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menjadi batu penghalang untuk Anwar menjadi perdana menteri yang seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan