KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng disoal siasat oleh pegawai polis dari Putrajaya di Pulau Pinang hari ini berhubung posting Facebooknya yang mempersoalkan jaket ‘mewah’ Givenchy yang dipakai oleh anak Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dipakai semasa penerbangan ke Australia baru-baru ini.
Menurut akhbar Kwong Wah Yit Poh, bekas Ahli Parlimen PKR itu diperintahkan untuk menyerahkan telefon bimbitnya selepas kenyataannya diambil di balai polis Tanjung Tokong dari 10.30 pagi tadi hingga tengah hari tadi.
Posting Facebook itu adalah maklum balas Tan selepas netizen memuji Guan Eng dan keluarganya yang menaiki penerbangan kelas ekonomi ke Australia.
Tetapi, Tan mendakwa, anak Guan Eng, Clint memakai jaket Givenchy yang berharga 887 pound (RM4,700) dan mempersoalkan bagaimana dia mampu memilikinya.
Tan, 46, mendakwa pegawai penyiasat enggan menunjukkan kenyataan yang direkodkan kepadanya untuk memastikan kesahihannya seperti mana mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
Pegawai polis itu memaklumkan kepada Tan siasatan itu dibuat selepas mendapat laporan daripada pengadu dari Putrajaya.
Tan mendakwa laporan itu tidak munasabah kerana beliau tidak menghina atau menafikan anak Lim, kata laporan itu.
Bekas Ahli Parlimen dari 2008 hingga 2013 dan kemudian keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen bebas itu juga telah dikunjungi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pada 20 Disember lalu, juga berkaitan dengan respons kepada anak Guan Eng.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata, pihaknya melawat rumah Tan berhubung penggunaan telefon tanpa kabel yang tidak mematuhi hingga menyebabkan gangguan isyarat di kawasan perumahannya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan