Timbalan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (kiri) mendengar
luahan petani berhubung isu tanah TOL tanah pertanian di Habu Heights,
Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
CAMERON HIGHLANDS – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan
Rosdy Wan Ismail digesa memberi tanah pajakan selama 30 tahun kepada
pengusaha tanaman di Cameron Highlands yang kini diberikan Lesen
Pendudukan Sementara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Tani, Sim Tze Tzin berkata,
tindakan kerajaan Pahang yang melengahkan-lengahkan kelulusan
pembaharuan pajakan tanah itu menyebabkan aktiviti pertanian di sini
terbantut.
“Kira-kira 80 peratus pengusaha kebun menghadapi masalah pemilikan
tanah pertanian dan kebanyakan tapak pertanian ini diusahakan di atas
tanah milik kerajaan negeri.
“Setiap tahun kena perbaharui dan petani mencadangkan mereka diberi
tanah pajakan sekurang-kurangnya 30 tahun atau maksimum 90 tahun dan itu
terpulang kepada kerajaan negeri.
“Pajakan tanah ini boleh dibuat untuk tempoh panjang dan pekebun akan
rasa selamat dan hasil tanaman mereka terjamin,” katanya pada sidang
media di Bilik Gerakan PKR Tanah Rata hari ini.
Timbalan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin bercakap pada
sidang media mengenai isu tanah pertanian di Bilik Gerakan PKR, Tanah
Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
Sementara itu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan
kepada tiga sektor utama bagi memodenkan Cameron Highlands merangkumi
pertanian moden, agro pelancongan dan industri asas tani.
“Kementerian ini tidak diskriminasi mana-mana parti politik baik
Barisan Nasional (BN) atau PH. Usaha kita untuk membantu petani-petani,
dan membawa perubahan kepada pertanian di Cameron Highlands.
“Kawasan ini masih belum dapat menarik pelancong dari luar negara,
jadi masa depan agro pelancongan di sini adalah untuk menuju ke tahap
yang lebih tinggi dengan memajukan agro-pelancongan,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan