HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Januari 2019

Gagal rebut peluang, jangan salah kaum lain

Datuk Mahfuz Omar


1 JANUARI — 2018 merupakan tahun melakar lagenda apabila negara yang kita cintai dimerdekakan semula oleh rakyat pada  9 Mei dengan menongkah satu lembaran harapan Malaysia baru.

Sejarah membuktikan bahawa Malaysia bersama rakyatnya senantiasa membangun dan bergerak mengikut arus kehidupan semasa.Kemampuan Malaysia dalam melakar arus politik serantau di samping menggembleng rakyat untuk berubah ke arah kuasa untuk memimpin dan menjadi teladan buat semua. Itulah kewibawaan Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, wujud ketidaktentuan ekonomi di kebanyakan negara, negara kita juga antara yang menerima tempiasnya.

Namun kerajaan baru mampu menguruskan impak kemelesetan ekonomi global dengan strategi ekonominya dengan pacuan pelbagai inisiatif transformasi termasuk penekanan terhadap kreativiti dan inovasi  di samping pengagihan sama rata dan adil yang inklusif dan berdaya saing bagi mencapai ekonomi negara yang dinamik, yakni mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan, pembangunan masyarakat yang lebih mendatar.

Namun dalam mengimpikan ekonomi yang dinamik ini, rakyat perlulah meletakkan agenda umat sebagai agenda bersama dengan tidak menjadikan sentimen peninggalan penjajah sebagai kayu ukur untuk perbandingan ekonomi.Kekurangan harta benda dan kelemahan ekonomi umat bukan kerana bangsa lain merompak atau mengambil hak kita tetapi kegagalan umat memanfaat segala hak dan peluang yang sedia ada sejak merdeka sebaliknya kita lebih bergantung pada tongkat kuasa politik untuk menjadi usahawan segera.

Kemiskinan bukan hanya berdasarkan kepada material harta benda semata-mata tetapi kemiskinan bermula dari hati dan minda serta jiwa yang lemah dan negatif.

2018 telah mengajar kita erti pengorbanan dan perubahan. Namun perubahan itu memerlukan pengorbanan bermula dari rakyat sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi.

Pengorbanan rakyat dalam membuat perubahan kepimpinan demi untuk kesejahteraan nagara merupakan satu pemangkin umat untuk direnungi bersama.

Kita digembar-gemburkan dengan mainan ilusi agama dan bangsa bagi kepentingan pihak tertentu.Semuanya adalah kerana kelemahan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam itu sendiri, bukannya kerana ancaman pihak lain.

Semuanya kerana kegagalan umat dalam membangun sahsiah Islam dalam diri, keluarga, masyarakat mahupun watan.

Oleh itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia bagi bersama-sama dalam menggapai impian Malaysia Baru dengan kita berazam untuk memberikan penumpuan kepada agenda membangunkan kehidupan dan negara.Semuanya tidak akan tercapai sekiranya asas kesejahteraan dan kemajuan negara iaitu perpaduan, keamanan dan keamanahan tidak disepakati bersama.

Dari itu perlunya pemerkayaaan minda dan pemerkasaan jiwa bagi mengisi aturan ilmu bagi mengecapi rakyat sejahtera.

Selamat Tahun Baru 2019.
Malaysia Baru Rahmat Untuk Semua.

* Datuk Mahfuz Omar adalah naib presiden Parti Amanah Negara
 

Tiada ulasan: