HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Januari 2019

Kajian: Melayu makin hilang keyakinan pada parti, pemimpin dan Parlimen

DENYUT REFORMASI


KUALA LUMPUR ― Ketika perubahan kerajaan pada Mei lalu memberi harapan baru buat rakyat Malaysia umumnya tetapi masyarakat Melayu pula hilang keyakinan pada proses politik.

Tinjauan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menunjukkan Melayu satu-satunya etnik yang menurun keyakinannya terhadap parti politik, pemimpin dan Parlimen sepanjang tahun lalu.

Keseluruhannya, keyakinan rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap parti politik meningkat daripada 60 peratus pada Januari kepada 63 peratus pada Disember lalu.

Keyakinan Cina meningkat daripada 56 peratus kepada 69 peratus, sementara India pula 50 peratus kepada 74 peratus tetapi Melayu merosot daripada 65 peratus kepada 58 peratus.

Terhadap pemimpin politik pula, keyakinan rakyat Malaysia meningkat daripada 58 peratus pada Januari kepada 62 peratus (Disember) tetapi Melayu menurun daripada 63 kepada 57 peratus.

Cina lebih yakin kepada pemimpin, meningkat daripada 54 kepada 67 dan India pula lagi besar peningkatannya, daripada 47 kepada 71 peratus dalam tempoh yang sama.

Sewaktu warga Malaysia lebih yakin sedikit terhadap sistem Parlimen, daripada 71 kepada 73 peratus, responden Melayu pula kian hilang keyakinan, daripada 74 kepada 67 peratus.

Etnik Cina meningkat daripada 70 kepada 78 peratus, sementara responden India pula melonjak keyakinan mereka daripada 65 kepada 84 peratus dalam kajian Jabatan Komunikasi universiti itu.

“Nampaknya pilihan raya umum Mei 2018 ada kesan positif kepada keyakinan pelbagai kaum terhadap parti dan ahli politik. Namun tidak begitu di kalangan Melayu,” kata ketua penyelidiknya kepada Malay Mail.

Profesor Datuk Syed Arabi Syed Abdullah Idid juga menjelaskan majoriti Melayu hilang kepercayaan terhadap kuasa politik atau menyalahkan pemimpin dan parti politik.

Kaji selidik tersebut melibatkan 2,551 responden di seluruh negara dan juga wawancara bersemuka antara November 2017 hingga Januari lalu bagi kajian pertama.

Sementara tinjauan kedua yang melibatkan 1,469 responden dibuat antara November dan Disember lalu. Kajian ini dibantu penyelarasnya Azrul Hisyam Wakichan.

Syed Arabi, bekas rektor UIA, melihat dapatan ini membayangkan Melayu tidak lagi yakin terhadap institusi politik dan sebahagiannya tidak nampak parti kerajaan baru boleh menjuarai isu Melayu. 

Tiada ulasan: