HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Januari 2019

Inkues Adib bermula hari ini

THE MALAYSIA TIMES
 


SHAH ALAM: Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Prosiding inkues itu akan dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner kira-kira 9 pagi.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hanya tiga wakil media iaitu dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), The Star dan akhbar Sin Chiew Daily dibenarkan masuk dalam galeri mahkamah bagi membuat liputan sebab ruang terhad.

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi sampai seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis.

Pada 10 Jan lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, Peguam Negara selaku Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah mengarahkan Majistret membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata dalam prosiding inkues itu, Majistret mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

Ini, katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Muhammad Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.

Tiada ulasan: