HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Januari 2019

Kami bayar balik kos minyak sukarelawan, PH jelaskan gambar beri wang


Antara gambar yang tersebar di media sosial sejak pagi tadi 
menunjukkan individu memakai baju merah berlogo PH didakwa 
mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang 
dalam tempoh berkempen PRK. (Gambar Facebook)
 
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menafikan gambar beberapa individu memakai baju logo gabungan itu mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands sebagai politik wang, sebaliknya ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands gabungan itu.

“Sukarelawan-sukarelawan PH yang datang dengan motosikal sendiri itu dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

“Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. DAP sebagai rakan komponen PH percaya kepada pilihan raya yang bersih dan telus, dan kami akan terus memegang prinsip ini dalam kempen kami.”

Beberapa gambar menunjukkan beberapa individu memakai baju dengan logo PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh berkempen pilihan raya kecil, tersebar di media sosial sejak pagi tadi.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemberian wang itu yang ditularkan melalui beberapa gambar dalam media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata SKMM memerlukan masa untuk mengenal pasti pemilik akaun media sosial terbabit dan amalan pemberian wang kepada pengundi bertentangan pegangan PH.

Beliau menganggap satu perbuatan tidak “gentleman” dan bermaruah.

PRK Cameron Highlands akan diadakan 26 Januari ini, selepas Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk C Sivarraajh daripada MIC pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 597 undi, selepas menewaskan pencabar terdekatnya, M Manogaran daripada DAP dalam pertandingan 5 penjuru.

Cameron Highlands mempunyai 32,009 pengundi berdaftar, termasuk 247 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir.

Tiada ulasan: