HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Januari 2019

Wanita PKR usul lantik Ahli Parlimen wanita tanpa melalui pilihan raya

Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha berkata, kaedah pelantikan 
terus wanita ke Parlimen turut diamalkan di Jerman dan negara 
Afrika. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Wanita PKR akan mengusulkan kepada kerajaan agar wanita dilantik ke Parlimen tanpa melalui pilihan raya dalam usaha mencapai sasaran 30% perwakilan wanita di Dewan Rakyat.

Ketuanya Haniza Mohd Talha berkata, pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi tujuan itu.

“Kita mahu kemukakan pandangan kita tentang bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan meningkatkan suara wanita dalam kerajaan dan Parlimen.

“Ini termasuk usul ‘non-constituency seats’, iaitu Dewan Rakyat sebenarnya boleh melantik pemimpin wanita untuk berada di Parlimen tanpa melalui pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita PKR Zon Tengah, di sini, hari ini.

Menurutnya kaedah itu diamalkan di luar negara antaranya Jerman dan negara Afrika.

Haniza yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, berkata, Wanita PKR menjadikan matlamat 30% wanita dalam kerajaan dan politik sebagai antara fokus sayap selepas pemilihan anggota jawatankuasa bagi penggal 2018-2021 selesai Nov lalu.

Selain itu katanya, beliau juga akan mengeluarkan surat memohon semua pengerusi Majlis Pimpinan Negeri membuat pelantikan wanita dalam jawatan parti negeri masing-masing.

“Satu jawatankuasa bertindak khas bagi mengaudit dasar ini akan dibentuk untuk melihat pencapaian sama ada sudah dipenuhi atau masih jauh dari sasaran,” katanya, menambah Wanita PKR juga akan mengadakan pertemuan dengan menteri berkaitan bagi membantu agenda wanita, termasuk dari segi ekonomi.

Haniza berkata, konvensyen pertama kali selepas pemilihan PKR 2018 bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan baru yang dilantik dan merapatkan saf di antara kepimpinan nasional dan negeri.

Konvensyen dilakukan mengikut 6 zon dengan yang seterusnya akan dijalankan di zon utara melibatkan Wanita PKR Perak, Kedah dan Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Satu kempen “Membanteras Keganasan Terhadap Wanita” turut dilancarkan pada konvensyen yang dihadiri kira-kira 500 anggota Jawatankuasa Wanita PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan itu.

Tiada ulasan: