WAWANCARA | Pada permulaan alaf baru
ke-21, Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri waktu itu
menjejakkan kakinya di Kutub Selatan, tindakan yang mengundang
kritikan ramai pihak.
Mahathir bersama isterinya Siti Hasmah
Mohamad Ali menyertai lawatan ke benua Antartika dari 6 hingga 13
Februari, 2002.
Bagaimanapun, lawatan delegasi negara
itu dipertahankan saintis yang berpendapat tindakan tersebut
menunjukkan hasrat dan iltizam negara terhadap penerokaan sains dan
teknologi.
Sejak 1999, Malaysia telah menghantar
puluhan pakar dan saintis melibatkan pelbagai bidang termasuk kimia,
biologi, kejuruteraan dan fizik dalam misi penyelidikan ke benua itu.
Antara yang berpeluang menyertai misi
penyelidikan tersebut ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Sains
dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shahrul
Mohd Nadzir.
Hasil kajian
Dr Shahrul yang juga merupakan ketua
Pusat Sistem Tropika dan Perubahan Iklim di UKM menyertai
penjelajahan ke Antartika pada Januari 2016.
Mengulas mengenai misinya, beliau
berkata ia bukan sekadar untuk mengibarkan bendera Malaysia.
"Dua tahun lepas saya bersama
Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPSM). (Sultan
Terengganu) Sultan Mizan (Zainal Abidin) ini suka Antartika, Mahathir
suka Antartika.
"Kita buat kajian ini bukan nak
jadi, oh Malaysia nombor satu, oh ini oh itu.. akhirnya apa yang
jadi?
"Sekarang ini banyak politik dalam
universiti nak kejar KPI di jurnal. Oh, siar saja di jurnal picisan asal bayar (mereka akan) siar.
"Kita tak nak macam itu. Kumpulan
kami di UKM kami nak pastikan jurnal yang kami hasilkan adalah jurnal
yang berkualiti dan hasil titik peluh saintis yang pergi ke
Antartika. Bukan sekadar pergi ke Antartika kibar bendera balik tak
ada apa-apa. Rakyat akan kritik!
"Saya pergi Antartika, saya nak
tunjuk, saya ada buat (hasil kajian yang diterbitkan), misalnya
jurnal Environmental Science and Pollution Research (ESPR),"
katanya.
ESPR yang berpangkalan di Jerman
menerbitkan hasil kajian, penyelidikan dan penemuan dalam semua
bidang sains terutamanya mengenai subjek yang mengemukakan analisis
kimia.
Hari ini Kutub Selatan menjadi medan
penerokaan sains dan teknologi, dengan kira-kira 40 negara telah
mendirikan pangkalan penyelidikan, yang dikawal selia Antarctic
Treaty System (ATS).
Memandangkan Antartika menjadi
satu-satunya benua tanpa habitat manusia, perjanjian ATS digubal pada
1961 dan kini diiktiraf 53 negara, termasuk Malaysia. Perjanjian itu
melarang sebarang kegiatan ketenteraan di benua itu, selain
memelihara Antartika bagi tujuan penyelidikan saintifik.
"Sebab mereka prihatin,"
katanya ketika temu bual di pejabat Malaysiakini baru-baru
ini.
Mahathir berkata tuntutan beberapa
negara terhadap Antartika perlu dibatalkan dan benua itu menjadi hak
milik semua negara. Perdana menteri ketika itu menggesa Antartika
diisytiharkan sebagai "warisan bersama umat manusia."
"Benua Antartika milik masyarakat
antarabangsa," kata Mahathir ketika berucap di PBB mengkritik
eksploitasi sumber alam semula jadi di sana.
Di Kutub Selatan, Shahrul, seorang
saintis atmosfera bumi melakukan penyelidikan berkaitan pemanasan
global, punca masalah perubahan iklim.
“Saya kaji mengenai gas-gas di
permukaan bumi dan lapisan ozon. Kenapa global warming orang
cakap dia berkait rapat dengan Antartika?
"Kawasan kutub ini sebab bila
berlakunya walau satu darjah (selsius) naik dia akan beri kesan
kepada pencairan ais.
"Ini kenapa perubahan iklim,
pemanasan global, bencana alam semua ini berkait rapat. Jadi itulah
kenapa pentingnya (misi Antartika itu)," katanya lagi.
Menurut Shahrul, pencairan ais di
Antartika akan menyebabkan kesan meningkatnya paras air laut yang
boleh memudaratkan Malaysia.
“Apabila pencairan kawasan permukaan
di Antartika berlaku disebabkan pemanasan global disebabkan kegiatan
manusia, maka pencairan ais itu akan memberi kesan kepada peningkatan
aras laut. Sebab itu negara, terutamanya semenanjung Malaysia sangat
berisiko tinggi.
"Saya hanya boleh bagi perspektif
pencemaran udara sebab macam kita di Khatulistiwa kita merupakan
pintu utama pencemaran udara (zarah, gas pencemar) untuk bergerak ke
mana-mana kawasan termasuk Antartika.
"Hal ini disebabkan iklim Malaysia
berada dalam monsun cuaca panas dan lembap sepanjang tahun jadi
proses-proses perolakan thermal (putaran arus udara panas dari
sesuatu bahagian ke bahagian lain) dia akan naik dan dia akan bawa
gas-gas ni.
"Jadi bila dia naik ke atas dia
akan bergerak ke kawasan kutub," katanya.
Mengulas mengenai dasar alam sekitar
pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Shahrul agak optimis.
“(Menteri Tenaga, Sains, Teknologi,
Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) YB Yeo (Bee Yin) sendiri mengambil
berat soal tenaga hijau.
"Jadi langkah-langkah contoh
sekarang ini Petaling Jaya nak ke arah bandar pintar, macam DBKL
tengok kalau digital board bandar raya bebas karbon menjelang
2030. Macam Shah Alam bandar raya bebas karbon.
“Jadi bebas karbon tu nak kurangkan
pencemaran udara. Salah satu langkah nak kurangkan perubahan iklim
sebab banyak karbon, karbon itu kita rujuk pada pollutant (zarah
dan gas pencemar),” katanya.
September tahun ini, Dr Shahrul akan
sekali lagi mengikuti misi jelajah saintifik ke Antartika.
Bagaimanapun kali ini, beliau akan pergi melakukan penyelidikan
bersama British Antartic Survey dari United Kingdom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan