KUALA LUMPUR – Biarpun larangan merokok di tempat makan
telah dikuatkuasakan sejak 12 tengah malam tadi, nampaknya masih ada
segelintir pengunjung yang tidak menghiraukannya.
Situasi itu dikesan di sebuah restoran popular di Jalan
Ampang, meskipun notis larangan merokok telah diletakkan di setiap
penjuru.
Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 9.30 pagi tadi mendapati
ada pengunjung yang tidak mempedulikan larangan tersebut dan merokok
secara terbuka dalam premis makan.
Tidak kurang pula ada pengunjung yang mematuhi larangan
tersebut dan kelihatan merokok sejauh tiga meter dari tempat makan yang
diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tinjauan di premis tersebut pula mendapati restoran
terkenal itu mematuhi syarat Kementerian Kesihatan Malaysia apabila
tidak menyediakan bekas puntung rokok seperti kebiasaan yang diletakkan
di atas meja.
Bagaiamanapun secara keseluruhannya orang ramai yang
mengunjungi restoran nasi kandar terbabit mematuhi penguatkuasaan
larangan merokok setakat jam 12 tengahari ini.
Bermula 1 Januari 2019, semua tempat makan sama ada berhawa
dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.
Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan
di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau
(PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan
perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.
Larangan itu juga meliputi semua gerai-gerai makan dan
kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk
makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan
keretapi.
Di bawah Peraturan 11 PPKHT 2004, mana-mana individu yang
melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda
tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Manakala di bawah Peraturan 12, semua pemilik, pengusaha
atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda
larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak
melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan
menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan