TAHUN 2018 baru sahaja
melabuhkan tirainya sekali gus menandakan pentadbiran Kerajaan Negeri
Terengganu sudah pun mencecah usia tujuh bulan. Tempoh ini adalah fasa
pengenalan kepada pentadbiran yang baru, namun ia bukanlah sebab untuk
mencipta pelbagai alasan.
Tugas yang digalas adalah satu amanah
dan kerajaan negeri komited untuk melaksanakan manifesto yang telah
dijanjikan. Hasilnya kita merancang untuk melaksanakan 12 daripada 20
agenda manifesto tawaran kepada rakyat Terengganu pada 2019.
Sebahagiannya telah pun berjaya dilaksanakan pada tahun lepas.
Tanpa menoleh ke belakang, kerajaan
negeri akan terus memacu tahun 2019 dengan lebih agresif dan proaktif.
Rakyat mahu melihat apa yang dirancang dikotakan, bukan sekadar manis di
bibir.
Namun, agenda ekonomi dan kemajuan tiada erti tanpa
penerapan nilai sosial, ilmu dan akhlak kepada masyarakat. Ini
bertepatan dengan empat teras dalam Bajet 2019 yang menekankan aspek
keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.
Justeru, kerajaan negeri ingin
mengumumkan bahawa Jumaat merupakan hari ilmu dan Sabtu pula adalah hari
keluarga. Pengisytiharan ini bertujuan meningkatkan budaya cintakan
ilmu dan pentingkan nilai kekeluargaan yang menjadi tonggak utama
sesebuah masyarakat maju, berkat dan sejahtera.
Saya juga mengharapkan tahun 2019 akan
menjadi tahun yang lebih baik dan produktif bagi negeri Terengganu dalam
semua aspek terutamanya dari aspek ekonomi, pembangunan modal insan,
dan kebajikan rakyat. Semoga semua perancangan dan urusan kita
dipermudahkan oleh Allah SWT.
Kepada seluruh rakyat Terengganu,
dengan rendah diri saya dan saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2019.
Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”
“Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”
*DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR, Menteri Besar Terengganu
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan