Sekali imbas tajuk tulis saya ini
kelihatan mengada-ngada. Atau dilihat bahawa saya cuba menimbulkan
perkara yang bukan-bukan. Tetapi hakikatnya - Melayu itu apa?
Pertanyaan ini adalah sebahagian dari induk persoalan nasional yang
belum selesai-selesai.
Mahathir Muhamad anak lelaki Iskandar
Kutty. Zahid Hamidi pendatang dari Jawa. Azeez Tabung Haji dilaporkan
berbahasa Tamil bersama keluarga di rumah. Khairy Jamaluddin berkulit
gelap legam. Melayu cerah berkulit sawo matang.
Kita selalu mendengar ayat-ayat ini.
Semua ayat-ayat ini adalah manifestasi dari pertanyaan Melayu itu
siapa? Pertanyaan ini muncul hasil dari persoalan nasional yang
belum selesai-selesai.
Wajib diberi tahu bahawa dalam dunia
ini hanya M-E-L-A-Y-U yang diberi definisi - apa dan siapa itu
Melayu - melalui Perlembagaan.
Bangsa-bangsa lain dalam dunia wujud
melalui etnik dan keturunan bangsa. Ertinya ada Melayu yang wujud
berasaskan perlembagaan bukan melalui bangsa atau etnik. Amin.
Artikel 160 Perlembagaan Malaysia
mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan
Malaysia.
Melayu diikat agama
Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu
itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur
menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di
Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin
di Persekutuan atau Singapura.
Tetiba Perlembagaan Persekutuan telah
mengikat Melayu dengan agama. Pelik tetapi benar.
Pentakrifan ini berlaku ketika anak
Melayu masih ramai belum bersekolah, jauh sekali sampai ke
universiti. Ini berlaku ketika belum wujud secara ampuh pemikir jati
diri dan intelektual Melayu. Ini berlaku atas paksaan Inggeris.
Latar belakang wujudnya konsep Melayu
yang dikahwinkan dengan agama ini kerana Inggeris mahu mengundur
dari Tanah Melayu. Kuasa kolonial Inggeris sesudah Perang Dunia kedua
telah jatuh muflis.
Keadaan ini bertambah buruk apabila
kuasa kolonial Inggeris telah dipukul teruk oleh perjuangan senjata
anak semua bangsa bawah pimpinan Parti Komunis Malaya.
Garis politik kanan ini diterima kerana
wujudnya pembelotan dari parti United Malays National Organisation.
Parti ini adalah kumpulan parti Melayu berhaluan kanan yang dieram
dan menetas dalam kerandut Inggeris.
Sebelum Inggeris mengundur pada tahun
1957, saya masih ingat lagi bagaimana arwah emak saya seorang guru
telah memperlekehkan apa yang dikenali sebagai DKK dan DKA. DKK
ialah darah keturunan Keling dan DKA ialah darah keturunan Arab.
Sila ke Arkib Negara dan rujuk kembali
DKK dan DKA yang dilaporkan oleh Utusan Melayu pada tahun
1955-1956. Sayangnya wacana DKK dan DKA ini hanya sampai ke tahap
sebut menyebut sahaja.
Melorohnya masuk orang China dan India
menjadi rakyat Tanah Melayu gagal dibincangkan secara menyeluruh.
Elit dan kaum feudal Melayu telah belot dan bersekongkol dengan
Inggeris. Tanpa mengambil pandangan menyeluruh orang Melayu.
Fikrah Melayu kiri
Sayugia, dari segi sejarah wajib
diberitahu secara hitam putih di sini bahawa wujud satu lagi garis
Melayu yang terbuka, maju dan progresif. Fikrah dan pandangan ini
datang dari Melayu kiri yang diwakili oleh sosok-sosok seperti
Shamsiah Fakeh, Samad Ismail, Musa Ahmad, Rashid Mydin, Boestaman,
Abdulah Sidi dan Pak Sako.
Kaum kiri Melayu berkumpul bawah payung
Putera. Mereka telah menerima konsep sesiapa sahaja yang ingin
bermastautin di Tanah Melayu akan dianggap Melayu. Persetujuan ini
telah dihitamputihkan dalam Perlembagaan Rakyat 1947.
Putera - adalah gabungan enam parti
politik Melayu Kiri. Dalam Perlembagaan Rakyat 1947 difinisi siapa
itu Melayu tidak dikahwin dengan Islam. Khalas.
Putera telah bekerja sama dengan badan
politik bukan Melayu untuk memerdekakan Tanah Melayu dari kuasa
kolonial. Hasilnya wujud barisan bersatu - united front - dengan
AMCJA (All Malaya Council of Joint Action atau Barisan Bertindak
SeMalaya).
United Front garis kiri ini telah
disabotaj dan dimusnahkan oleh Inggeris yang bekerjasama dengan
garis kanan Melayu yang diwakili oleh United Malays National
Organisation melalui darurat.
Perintah Darurat telah diisytihar pada
20 Jun 1948. Hampir kesemua pemimpin Putera ditangkap oleh Inggeris.
Yang sempat selamat lari telah masuk ke hutan untuk memulakan
perjuangan bersenjata melawan Inggeris.
Latar belakang sejarah yang saya
rakamkan ini wajib diketahui oleh generasi sekarang. Ia penting. Ini
bertujuan untuk membuktikan bahawa difinisi Melayu yang wujud hari
ini bukan satu yang mutlak. Bukan satu yang monolitik.
Terbukti - dari segi sejarah tidak
wujud hanya satu pandangan - siapa itu Melayu. Amat jelas difinasi
Melayu yang wujud dalam Perlembagan hari ini berlatar belakangkan
kepentingan Inggeris dan pembelotan United Malays National
Organisation.
Dewata Mulia Raya
Bangsa Melayu tidak ada sangkut paut
dengan agama. Adalah salah apabila mentakrifkan Melayu maka kita
anggap semua Melayu itu juga beragama Islam. Ini tidak betul dari
segi fakta. Melayu ialah kumpulan bangsa, satu kumpulan etnik atau
satu ras yang wujud di Kepulauan Melayu.
Di Filipina ada Melayu beragama
Kristian. Di Bali majoriti Melayu beragama Hindu. Di Sumatera ada
Melayu beragama Kristian dan Buddha. Masih ramai Melayu yang
percaya kepada hantu dan polong, batu, hutan dan banir kayu. Malah
ramai juga Melayu yang tidak percaya kepada apa sahaja bentuk agama.
Jangan silap tafsir Melaka dibuka oleh
Parameswara anak raja Hindu. Ini bukan bermakna Parameswara dari
India. Dia Melayu yang beragama Hindu. Hindu Prince yang
ditulis dalam buku sejarah bukan bermakna dari India.
Wajib juga saya beritahu bahawa 700
tahun dahulu mengikut baru bersurat dari Terengganu, Bani Melayu ini
telah ada tuhan sendiri - Dewata Mulia Raya.
Konsep kolonial Inggeris
Justeru mengahwinkan apa itu Melayu
dengan agama hanya berlaku di Malaysia. Ini konsep kanan. Ini konsep
kolonial Inggeris. Lahir dari kepentingan Inggeris. Konsep yang tidak
ilmiah. Konsep yang tidak berjejak di bumi nyata. Konsep yang cuba
memadamkam sejarah bangsa.
Hari ini konsep kanan siapa Melayu
masih diteruskan oleh kaum kerabat saki baki parti politik yang
pernah dieram oleh Inggeris. Konsep kanan ini secara lumayan telah
digunakan sebagai senjata politik.
Konsep - kita Melayu maka kita Islam
ini - menjadi modal yang telah membonsaikan fikrah Melayu itu
sendiri. Bonsai yang maha sangat ini telah dibuktikan dengan
gagalnya Melayu di Malaysia menerima hakikat bahawa ada Melayu di
alam Melayu ini yang beragama Khristian, Hindu, Buddha atau tidak
beragama.
Jadi siapa Melayu? Dalam keadaan
kebonsaian Melayu ini biar saya terangkan di sini dengan sejelas
mungkin. Yang bonsai pun saya rasa akan faham apa yang saya tulis
ini.
Jarak Shanghai dari Peking ialah
2,652km. Dari Taiwan ke Peking jaraknya 1,851km. Dari Yenan ke Peking
jaraknya 4,355 km. Semua ini adalah bumi China. Jarak beribu-ribu
baru jauhnya tidak pernah menjadi persoalan. Bahasa dan budaya yang
berbeza-beza juga tidak pernah dipersoalkan. Semua China.
Jarak New Delhi dengan Mumbai ialah
1,404.5km. Dari Delhi ke Tamil Nadu jaraknya ialah 2,470.5km. Dari
Delhi ke Calcuta ialah 1,470km. Bahasa, pakaian, budaya yang
berbeza-beza tidak dipersoalkan. Semua India.
Jarak Kuala Lumpur ke Medan ialah 674
batu. Jarak Tanjung ke Medan hanya 274km. Dari Melaka ke Dumai hanya
107Km. Dari Kuala Lumpur ke Jakarta hanya 733 batu atau 1,188km.
Tetapi kita terdengar Zahid Hamidi
adalah pendatang Jawa. Ustaz Badrul Amin pendatang dari Banjar.
Shafie Afdal pendatang dari Filipina. Takiyuddin pendatang dari
Patani.
Kita tak pernah mendengar ayat yang
mengatakan Mao bukan dari China dia pendatang haram dari Hunan -
1,611km dari Peking. Atau Mahatma Ghandi bukan India tetapi
pendatang dari Afrika Selatan.
Kenapa agaknya Zahid Hamidi, Badrul
Amin atau Shafie Afdal dipersoalkan dari mana asal usul mereka.
Ini buktikannya persoalan nasional
belum selesai. Hakikatnya Zahid atau Shafie adalah Melayu.
Semua
lahir dalam bumi dan alam Melayu. Mereka bukan pendatang.
Sama
seperti Mao Zedong bukan pendatang dari Hunan yang memiliki bahasa
yang asing di Peking. Atau Ghandi juga bukan pendatang ke Delhi dari
Afrika Selatan.
Apa yang saya tuliskan di sini wajib
masuk ke dalam kepala, ke dalam akal dan fikrah orang China dan
India. Ini kerana merekalah yang selalu menimbulkan idea “Melayu
pendatang”.
Tujuan mereka menimbulkan “Melayu
juga pendatang” tersirat niat jahat. Mereka ingin menunjukkan
bahawa semua kita ini pendatang. Tidak ada siapa yang awal wujud di
Tanah Melayu. Tanah Melayu ini bumi kosong. Tanah Melayu ini bukan
asal usul Bumi Melayu.
Sikap jahat
Mengikut hujah ini Tanah Melayu ini
adalah wilayah pendatang.
Sikap ini sikap salah. Ini sikap jahat
dari pendatang baru. Sikap ini wajib dilawan. Sejarah membuktikan
bahawa bumi Melayu ini hanya dipisah-pisahkan pada tahun 1824
melalui perjanjian Anglo-Dutch Treaty. Empat wilayah Melayu - Petani,
Yala, Setul dan Naratiwat menjadi hak Siam melalui Anglo-Siamese
Treaty 1906.
Jangan silap - pendatang ke Bumi Melayu
ialah orang China dan India. Mao Zedong bukan pendatang Hunan ke
Peking. Ghandi bukan pendatang dari Mumbai ke Delhi.
Pendatang ke bumi Melayu ini adalah
sosok-sosok yang sebutan besi, air, nasi, babi dan padi bukan timbul
dari bumi ini.
Langsat, durian, petai dan rambutan
tidak ada sebutan dalam bahasa asal mereka. Mereka memiliki
kata-kata yang amat berbeza dari kata-kata asal usul Melayu. Maka
mereka inilah pendatang.
Apa yang dapat saya rumuskan di sini
ialah pertanyaan siapa Melayu itu memerlukan jawapan.
Persoalan
nasional wajib difahami. Penyelesaian masalah persoalan nasional
akan terungkai kerana jawapan tidak dapat dipisah dari soalan.
*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis
politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan