MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Sabtu, 5 Januari 2019
Idea dana parti politik boleh dicedok dari negara lain - Penganalisis
MALAYSIAKINI
Kaedah pencarian dana bagi parti politik boleh dicedok daripada model
negara lain bagi memastikan sesebuah parti tidak ketandusan kewangan,
kata Pensyarah Kanan Pusat Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM)
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Hal tersebut bagi mengelakkan
kesempitan dana di peringkat akar umbi sehingga menyukarkan kerja-kerja
menggerakkan parti, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Malaysia
sememangnya sedang menuju ke arah itu, tetapi masih dalam peringkat
awal di bawah pejabat peguam negara untuk menentukan kaedahnya
(pemberian peruntukan terhadap parti politik),” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau
mengulas pergeseran yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) berikutan gesaan Naib Presidennya Ab Rashid Ab Rahman yang
mahu kontrak kerajaan dan jawatan diberikan kepada anggota parti.
Gesaan itu bagi membolehkan ketua bahagian mendapat sumber kewangan mencukupi untuk menggerakkan parti.
Ab
Rashid berkata demikian semasa penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan
(PAT) Bersatu 30 Dis sebagai respons Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq
Syed Abdul Rahman yang mengecam beberapa perwakilan membuat gesaan itu
dalam perbahasan.
Kenyataannya
itu mencetuskan reaksi tidak senang sesetengah pihak termasuk di
kalangan sebahagian anggota Bersatu sendiri yang melihatnya sebagai ‘perangai bawaan Umno’.
Ambil contoh Jerman
Biarpun
mengakui Malaysia perlu mempunyai modelnya yang tersendiri, Azizuddin
berpendapat idea yang baik daripada model negara luar boleh diambil kira
dengan mengambil contoh negara Jerman.
Di bawah Akta Parti-parti
Politik, setiap parti politik di Jerman berhak menerima dana kerajaan
mengikut pecahan tertentu- ditentukan berpandukan beberapa kriteria
termasuk jumlah undi yang diperoleh dalam pilihan raya.
“(Jadi)
Sekiranya hendak manfaatkan peruntukan itu (yang disalurkan oleh
kerajaan) untuk jana pendapatan kepada parti, itu bergantung pada
parti,” cadangnya.
Biarpun
mengakui kegusaran ketua-ketua bahagian perlu diberikan perhatian,
pendekatan yang diambil tidak boleh lari daripada perjuangan asal parti,
antara lain untuk mengetepikan amalan kronisme.
“Kalau (zaman)
Umno dulu lain, ada dapat projek, kontrak, dan juga dana daripada parti
yang terus (diberikan) kepada ketua bahagian, anggota parlimen dan
Adun,” katanya.
Tambah beliau, kesabaran di peringkat akar umbi
amat diperlukan memandangkan setiap parti baru sememangnya akan berdepan
dengan masalah kewangan.
“PKR dan DAP sudah lama, dana banyak.
Jadi Bersatu sebagai salah satu parti utama dalam Pakatan Harapan (PH),
dana akan datang, tapi ambil masa lah.
“Semua menghadapi masalah
ini (kekangan kewangan), saya ingat lagi PKR dulu masa mula-mula
ditubuhkan pun banyak masalah kewangan. Kena sabar,” katanya.
Lebih telus
Sementara
itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ainul
Adzellie Hasnul berpendapat sumbangan dana daripada mana-mana pihak
termasuk pihak swasta seperti diamalkan di Amerika Syarikat merupakan
satu pendekatan yang bagus seandainya ketelusannya dapat dipastikan.
Katanya, perkara itu boleh dibawa ke parlimen agar undang-undang khusus berkenaan sumbangan dana yang telus dapat digariskan.
“Di
Amerika Syarikat, mana-mana syarikat atau pihak yang ingin menyumbang,
tak ada sekatan (dikenakan) terhadap mereka dan mereka tak segan silu
menyumbang (kepada parti) bagi memastikan kesejahteraan rakyat di
sesuatu kawasan,” katanya kepada Malaysiakini.
Beliau
yakin pendekatan tersebut tidak akan menyebabkan syarikat-syarikat yang
menyumbang dana kepada parti pembangkang disenaraihitamkan daripada
projek kerajaan, seperti yang didakwa terjadi semasa pentadbiran BN.
Katanya,
hal itu kerana pentadbiran PH dilihat mengamalkan sikap lebih telus dan
mementingkan integriti, yang menurutnya turut mampu memastikan
sumbangan tersebut tidak disalahgunakan.
“Dengan adanya
ketelusan, semua orang tahu perjalanan duit, dan tak akan berlaku lagi
sesetengah ketua bahagian menyimpan dana untuk kepentingan peribadi.
“Saya yakin Malaysia akan menuju ke arah demokrasi yang lebih matang dalam negar kita hari ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan