Tindakan perwakilan Bersatu meminta supaya kontrak kerajaan
dan jawatan diberikan kepada mereka pada perhimpunan agung tahunan parti
itu tidak wajar dipersalahkan 100 peratus, kata penganalisis.
Ini
kerana Bersatu yang ditubuhkan sejak 2016 itu merupakan satu parti yang
sangat baru yang mana mereka masih kekurangan dana untuk melakukan
aktiviti-aktiviti parti di peringkat bahagian, kata Prof Madya Awang
Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM).
Beliau berkata, ini
berbeza jika dibandingkan dengan parti gabungan Pakatan Harapan yang
lain seperti PKR dan DAP yang dilihat lebih kukuh dan stabil dari segi
kewangan.
"Tanpa dana yang mencukupi mustahil sesebuah parti itu
dapat bergerak dengan lebih lancar khususnya di kawasan luar kawasan
yang memerlukan kos bagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.
"Hal
ini berbeza dengan politik di bandar-bandar yang sudah tersedia selesa
dengan pelbagai kemudahan dan isu politik mereka lebih kepada isu
politik tadbir urus yang baik.
Politik pembangunan
"Di luar bandar politik infrastruktur atau dikenali sebagai politik pembangunan sangat diperlukan.
"Misalnya,
isu zink untuk atap rumah bocor, jalan kampung rosak, dewan di kampung,
bantuan anak ke sekolah atau pertama kali ke universiti dan malah ada
yang tak mampu berulang-alik pergi ke kota untuk rawatan di hospital.
Inilah berbeza dengan realiti bandar," katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun,
Awang Azman yang juga pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya, Akademi
Pengajian Melayu UM berkata kontrak tersebut perlulah dilakukan secara
tender terbuka dan mengikut prosedur yang sesuai bagi membolehkan hanya
mereka yang benar-benar layak boleh mendapatkannya.
Beliau berkata individu yang memohon kontrak juga perlu melalui proses tapisan.
"Isu ini sepatutnya dibincangkan secara rasional dan menyeluruh agar parti Bersatu semakin kukuh dan stabil.
"Bukannya ditolak mentah-mentah tanpa ada pencerahan atau perbincangan dalam saluran parti," katanya.
Pada
30 Disember lalu, ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu,
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas perwakilan
dari Wilayah Persekutuan kerana meminta kontrak dari kerajaan.
Tidak
lama selepas itu, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman
berkata tanggapan tersebut sebagai "bodoh" jika pemimpin parti itu tidak
menggunakan sumber kerajaan termasuk kontrak dan jawatan.
Penganalisis politik Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut senada dengan Awang Azman.
Mohd
Azizuddin berkata parti serpihan Umno itu masih muda dan memerlukan
kewangan yang cukup bagi ketua bahagian mereka menjalankan
aktiviti-aktiviti parti di bahagian mereka.
"Tak ada masalah untuk dapat projek sekiranya mereka mampu dan layak untuk dapat projek.
"Cuma
sekarang ini mereka baru, parti nak bergerak tapi sumber kewangan parti
terbatas. Jadi itu yang menyebabkan mereka tanya apa sumber kewangan
yang parti boleh bagi kepada mereka kerana mereka perlu dibantu oleh
parti untuk melaksanakan aktiviti.
"Jadi bila parti tak
dapat menjanjikan sumber kewangan tersebut, sebab itu mereka minta
projek. Jadi itu realiti yang berlaku sekarang ini," katanya.
Menurut
Mohd Azizuddin, soal kekangan dana untuk parti ini perlu diambil berat
oleh pimpinan tertinggi dan dibawa berbincang kerana ia mampu memenangi
hati rakyat.
"Cuma idea itu dilihat sebagai golongan muda tak
setuju sebab ke arah politik lama dan bukan politik baru yang tidak
kontrak dan sebagainya tapi sebenarnya saya tak salahkan Syed Saddiq dan
ketua bahagian tersebut sebab isunya adalah keterbatasan dari segi
kewangan," katanya.
Hayat politik Syed Saddiq boleh terjejas
Mengulas
kenyataan naib presiden Bersatu, Awang Azman berkata pandangan Rashid
perlu dilihat sebagai pendapat 'orang lama' dalam pentadbiran dan
memahami masalah ini.
"Beliau bercakap bagi pihak-pihak lain yang sukar mendapatkan dana bagi tujuan membiayai program politik kawasan.
"Sudah
pasti projek pembangunan yang disuarakan bukanlah bermakna kelulusan
diberikan tanpa proses atau prosedur yang biasa diamalkan.
"Tan
Sri (Abdul rashid) seorang birokrat sendiri pasti menolak amalan
ketirisan, rasuah dan perlanggaran etika. Cuma ia bermaksud sekiranya
layak maka tidak salah sesebuah projek dianugerahkan," katanya.
Beliau berkata, tindakan Menteri Belia dan Sukan itu boleh memakan hayat politiknya kerana ketua-ketua bahagian berusaha untuk singkirkannya selepas kenyataan tersebut.
Katanya,
amalan ini bukan sahaja kebiasaan dalam parti Umno tetapi parti lain
yang lebih mempunyai mekanisme dalam menabung perbelanjaan program
politik.
"Misalnya PKR ada tabung parti yang mewajibkan wakil rakyat mereka menyumbang setiap bulan," katanya.
Bagaimanapun, Prof Madya Jeniri Amir (gambar) dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berbeza pendapat dengan Awang Azman dan Azizuddin.
Jeniri berpendapat tindakan meminta kontrak kerajaan itu tidak ubah seperti amalan Umno pada suatu ketika dahulu.
Beliau
mempertikaikan mengapa Abdul Rashid membuat kenyataan sedemikian rupa
yang secara tidak langsung menampakkan beliau menyokong dengan amalan
yang dipraktikkan Umno terdahulu.
"Jadi tuntutan atau permintaan sedemikian ialah budaya yang telah sebati dalam akar umbi dalam kalangan pemimpin Umno.
"Jadi saya hairan mengapa orang seperti Abdul Rashid itu kemukakan cadangan yang jelas tidak popular," kata Jeniri.
Tambahnya,
pendirian yang dibuat oleh Syed Saddiq itu tidak harus dikecam kerana
Bersatu perlu menyedari hakikat bahawa Barisan Nasional ditolak rakyat
pada pilihan raya umum 14 lalu kerana pelbagai perkara termasuk salah
guna kuasa yang turut dilakukan di peringkat bawahan.
"Jadi saya
tidak percaya, ini akan memakan diri kepada Syed Saddiq. Malah bagi saya
seluruh rakyat Malaysia harus memberi sokongan padu pada kenyataan itu
kerana ini satu kenyataan yang berani, berprinsip dan juga beretika,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan