MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Khamis, 17 Januari 2019
Seluruh Pulau Pinang bakal jadi kawasan larangan merokok
MALAYSIAKINI
Pulau Pinang merancang untuk mewartakan kawasan larangan merokok di
seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha
untuk menjadi negeri bebas asap rokok.
Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar
Bandar Pulau Pinang Dr Afif Bahardin berkata usaha ini akan dilaksanakan
menerusi Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) yang bertujuan
melindungi penduduk negeri ini daripada bahaya asap rokok.
"Kerajaan
negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi memastikan
perancangan ini berjaya dilaksanakan dan kami akan menggiatkan lagi
pelaksanaan program kesedaran awam tentang larangan merokok di kawasan
awam dan taman rekreasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di
Butterworth.
Sidang
akhbar itu dibuat bersama-sama pihak pengurusan rangkaian Restoran Nasi
Kandar Pelita yang mengumumkan pemberhentian jualan rokok di semua
premis mereka mulai semalam.
Menurutnya inisiatif ke arah Penbar
ini telah pun bermula melalui pewartaan enam taman rekreasi awam di
negeri ini sebagai kawasan larangan merokok sejak 2012 iaitu di Empangan
Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman
Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang.
Dr Afif berkata usaha
ini telah diteruskan dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia Georgetown
sebagai kawasan larangan merokok bermula 4 Julai 2015.
Bagaimanapun,
beliau mengakui ada kekangan dalam usaha untuk melaksanakan larangan
secara menyeluruh ini dan jawatankuasa yang dipengerusikannya sedang
mencari penyelesaian yang sesuai bagi merealisasikan Penbar ini.
"Larangan
merokok di seluruh Pulau Pinang ini perlu mengambil kira beberapa
faktor terlebih dahulu yang antaranya mengambil kira kawasan khas untuk
merokok dan kita akan adakan perbincangan untuk menyelesaikannya,"
katanya.
Menurutnya, pertimbangan berhubung penyediaan kawasan
khas untuk merokok ini dibuat selepas terdapat beberapa premis tumpuan
awam yang sudah melaksanakannya di negeri ini.
"Kini,
ia (larangan merokok) sudah dilaksanakan contohnya di masjid-masjid dan
rumah-rumah ibadat lain. Kami bukan hendak sekat terus sesiapa untuk
merokok, sebaliknya mereka boleh menghisap rokok di kawasan dibenarkan
sahaja," katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Dr Afif
berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (JPV) negeri sudah mengambil langkah berjaga-jaga berikutan
penularan jangkitan rabies atau penyakit anjing gila di Taiping dan
Bukit Gantang di Perak.
Katanya setakat ini tiada laporan atau kes
berkaitan jangkitan rabies dilaporkan di Pulau Pinang namun situasi
semasa berhubung kesihatan awam yang berlaku di negeri-negeri yang
berjiran dengannya akan terus dipantau rapi.
"Selain itu PBT
bersama JPV juga masih meneruskan program pemberian vaksin kepada haiwan
berkenaan malah PBT turut menangkap anjing liar dan kembirikannya,"
katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan