Menurut ketua eksekutif Socso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz, punca utama keadaan ini ialah ramai pemandu teksi dan e-panggilan melihat perlindungan insurans sebagai beban, bukannya perlindungan masa depan mereka.
Azman berkata demikian selepas memberitahu ramai pemandu gagal menyumbang kepada Socso walaupun kerajaan menggesa semua pemandu mendaftar dengan skim tersebut.
Berdasarkan laporan Kementerian Sumber Manusia yang dilihat oleh FMT, hanya 7,774 (7.7%) daripada 100,000 pemandu menyumbang kepada Socso sehingga 7 Jan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran sebelum ini berkata, semua pemandu teksi dan e-panggilan dikehendaki mendaftar dan membuat sumbangan kepada Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri pertubuhan itu berkuat kuasa 1 Nov tahun lepas.
Kulasegaran berkata, Socso dan Kementerian Pengangkutan telah membincangkan langkah yang akan diambil sekiranya pemandu gagal berbuat demikian.
Azman berkata, pihaknya terus berhubung dengan pemandu teksi dan e-panggilan bagi mengatasi isu itu dan menggalakkan mereka mendaftar.
Beliau berkata, Socso memberi tambahan masa 6 bulan lagi sebelum mengenakan denda ke atas pemandu yang gagal mendaftar dengan skim insurans tersebut.
“Pada masa ini, pendekatan kita ialah memupuk kesedaran. Kami masih mencuba memahamkan mereka akan kepentingan menyumbang.”
Bagaimanapun, katanya, jika pemandu terus berdegil, mereka akan dikenakan kompaun.
Kamaruddin Hussain, yang mengetuai lebih 100 persatuan teksi yang dinamakan Gabungan Teksi Se-Malaysia berkata, adalah tidak adil sekiranya kerajaan mengenakan penalti ke atas pemandu teksi yang gagal menyumbang kepada Socso.
“Berdasarkan keadaan semasa industri ini, hampir mustahil kami dapat menyumbang kepada Socso,” katanya. “Pemandu teksi sekarang bergelut mencari wang untuk menampung kehidupan keluarga mereka, inikan pula untuk menyumbang kepada Socso.
“Tidak adil dan kejam sekiranya kerajaan terus meminta atau memaksa kami menyumbang, tetapi tidak berbuat apa-apa bagi mengatasi punca masalah.”
Beliau mendesak kerajaan supaya setidak-tidaknya membantu pemandu teksi mendapatkan semula pendapatan mereka dengan menyeragamkan sistem tambang untuk perkhidmatan teksi dan e-panggilan.
Katanya, jika kerajaan gagal mewujudkan padang permainan yang sama rata antara 2 perkhidmatan itu, maka ia tidak boleh berharap pemandu teksi akan mendaftar dengan skim insurans tersebut.
Bagaimanapun beliau mengakui skim berkenaan baik dan bermanfaat kepada pemandu teksi, yang menurutnya mahu mendaftar sekiranya pendapatan mereka lebih konsisten.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan